17
Tue, Sep
45 Artikel Baru

Sokong perkenal khat jawi di sekolah vernakular

Berita
Typography
PAS Johor mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di atas usaha memartabatkan warisan bangsa dengan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.
 
PAS Johor mengikuti perkembangan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) terbaru yang menjadi rujukan para guru dalam menyediakan rancangan pengajaran melalui perbincangan bersama wakil Kluster Pendidikan JPRO. Hasil dapatan, pihak kami mendapat makluman, seni kaligrafi ini akan diajar berdasarkan standard pembelajaran tersebut:
 
• Mengenal, mengecam dan menyebut huruf tunggal yang ditulis mengikut seni khat dalam simpulan bahasa dan mempersembahkannya dalam bentuk tulisan.
 
• Mempersembahkan keindahan seni khat melalui simpulan bahasa.
 
Mengikut tinjauan kami juga tidak ada sebab untuk mana-mana pihak untuk membantah cadangan pembelajaran berkenaan memandangkan subjek hanya diajar lima atau enam kali sahaja dalam tempoh setahun dan hanya 6 muka surat daripada keseluruhan 156 muka surat buku teks diperuntukan. Pelajaran seni khat juga tidak diwajibkan dan tidak masuk dalam peperiksaan.
 
Jika ditelusuri, berdasarkan piawaian pembelajaran ini, bakat dan kreativiti anak bangsa dapat dilatih seawal sekolah rendah dan secara tidak langsung dapat memupuk rasa cinta akan budaya warisan bangsa.
 
Sehubungan itu, PAS Johor akan terus menyokong pelaksanaan pengenalan tulisan khat ini seperti dijadualkan kerana tulisan khat mempunyai nilai artistiknya yang tersendiri dan murid-murid digalakkan untuk menghargainya. Tambahan pula, Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan menyatakan Bahasa Malaysia hendaklah menggunakan tulisan rumi dan tiada halangan untuk menggunakan tulisan jawi.
 
Terkini, PAS Johor juga menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah memutuskan pembelajaran tulisan khat ini akan diteruskan.
 
Kami yakin, dengan mempelajari seni warisan ini dapat mengukuhkan perpaduan dan jati diri anak bangsa dan PAS Johor menyokong dasar KPM yang dilihat komited untuk bersama-sama membina Malaysia yang memiliki persefahaman dan pengetahuan kukuh terhadap warisan kebangsaan.
 
Sekian. Wassalam.
 
"Islam Memimpin Perpaduan"
 
USTAZ ABDULLAH HUSIN 
Pesuruhjaya PAS Negeri Johor - HARAKAHDAILY 4/8/2019