17
Tue, Sep
45 Artikel Baru

Menyapu tahi lembu ke muka DAP?

Berita
Typography
GEGER Malaysia apabila tiba-tiba, dalam keadaan tenang, seramai 138 orang pembesar akar umbi DAP, termasuk 13 orang Adun mereka, membuat onar, membantah seni khat, yang mana pastilah tulisan jawi yang terlibat dalamnya, daripada dijadikan salah satu cabang seni bagi pelajar-pelajar di Malaysia. Cadangan itu sebenarnya datang dari Kementerian Pendidikan dan salah seorang Timbalan Menteri ialah orang DAP sendiri bersetuju menyambung perancangan BN yang telah dibuat semenjak 2016 lagi.
 
Tulisan jawi ini, ia adalah tulisan rasmi Kerajaan Tanah Melayu semenjak sekian lamanya. Malahan, perjanjian antara Inggeris dengan Raja-raja Melayu, menggunakan sepenuhnya tulisan jawi. Inggeris sangat faham, jangan dihina akan budaya rakyat setempat, buruk akibatnya. Maka mereka mengiktiraf tulisan ini, mereka belajar memahaminya dan dapatlah mereka berhubung dan mengadakan perjanjian dengan Raja-raja Melayu.
 
Tulisan jawi ini berasal dari Arab. Jadi, ia mempunyai kaitan rapat dengan Islam. Islam datang ke Tanah Melayu sampai ke Terengganu ratusan tahun lebih dahulu, sebelum Melaka. Oleh itu bayangkanlah semenjak menghampiri satu kurun ia telah dikenali secara rasmi, melalui al-Quran. Banyak sekali perkataan melayu yang diadaptasikan daripada perkataan Arab. ‘Hakim’, ‘Maghrib’, ‘Isya’’ perlukan huruf khusus untuk dieja iaitu Ha, Ghin, Hamzah. Malah perkataan ‘adil’ yang digunakan oleh parti rakan DAP, berlambangkan mata lebam itu juga dari perkataan Arab, memerlukan huruf ain untuk dieja dengan betul.
 
Secara sengaja, seorang Ahli Parlimen DAP telah menaikkan hantaran di media sosial beliau perkataan ‘tahi lembu’ yang disandarkan kepada huruf jawi. Dakwa beliau, ia hanyalah hantaran yang ditulis oleh seseorang di sebuah laman portal dan bukannya daripada beliau. Jadi apa ke ‘jadahnya’ menghantar status yang menaikkan kemarahan orang melayu Islam di media sosial miliknya? Mahu mengujikah? Akhirnya kerana desakan, beliau memadamkan hantaran itu. Tapi ugut pula mahu menyaman Harakah.
 
Dr Tan Seng Giaw yang juga bekas Ahli Parlimen Kepong yang paling lama dalam DAP, adalah seorang yang tidak mempunyai masalah langsung dengan tulisan jawi. Beliau pandai membaca dan menulis jawi dengan lancar. Ada ramai lagi ibu bapa berbangsa cina menghantar anak-anak mereka ke PASTI yang kita sedia maklum, PASTI juga mengajar mengenal huruf jawi. Mereka tidak fobia kerana faham dengan budaya. Yang menjadi masalah apabila beberapa kerat manusia bebal yang ingin mencari populariti.
 
Tidak terhenti setakat itu sahaja, seperti biasa, mereka segera memalingkan tubuh dan wajah mereka ke arah PAS, kerana PAS telah mengeluarkan kenyataan menghentam keras desakan yang tidak masuk akal ini. Sindir mereka, Umno sudah menjadi suci kepada PAS walaupun merekalah yang melaksanakan penghapusan tulisan jawi ini pada sekitar tahun 60-an dahulu melalui Menteri Pelajaran ketika itu, Tan Sri Khir Johari. Suatu sindiran yang tumpul, kerana pendeknya akal mereka.
 
PAS tetap menentang penghapusan tulisan jawi yang dilakukan oleh Umno dahulu. Ia menyebabkan ramai anak-anak melayu Islam, tidak pandai membaca al-Quran. Itu kaitannya. PAS tidak pernah mengatakan bahawa Umno betul dalam perbuatan mereka itu. Itu ialah keputusan Umno suatu waktu dahulu. Dan ianya terbukti, bukan menjadi keputusan kekal selama-lamanya dengan Umno pada tahun 2016, ingin memperkenalkan semula seni khat ini di sekolah-sekolah. Keputusan menteri berbeza, dari parti yang sama.
 
Jadi, secara jelas, apabila seseorang itu telah mengubah pendirian mereka ke arah lebih positif, maka, PAS mendepakan tangan, menyambut baik langkah mereka. Sebagaimana bersungguhnya Umno bersama BN, mahu berkerjasama dengan PAS dalam mengalahkan PH, maka sudah tentulah PAS menerimanya. Adapun keputusan ayah kepada YB Zairil Khir Johari dari DAP itu, ialah keputusan lama. Ianya sama juga dengan keputusan DAP menentang Tun M dahulu. Apa yang mereka tidak kata kepada Tun M? Mengapa sekarang ini berpelukan pula?
 
PAS memang bersetuju dengan Umno, kerana sekarang Umno menghormati hak PAS, tidak seperti dahulu. Sebagaimana DAP boleh bersama PAS dalam BA dan PR, asbab mereka menghormati dasar Islam PAS. Tetapi bukan PAS menjadi ‘Pak Turut’ Umno, seperti DAP dengan Tun M. PAS dan Umno bersetuju untuk tidak bersetuju. Bagaimana pula DAP dan Tun M? Siapa ikut siapa? DAP ikut Tun M atau Tun M ikut DAP? Jika benar Tun M ikut DAP, kenapakah Perdana Menteri pujaan hati mereka masih menunggu untuk menggantikan Tun?
 
Sehingga kini Tun M masih memegang tampuk kuasa. Kenapa juga Timbalan Perdana Menteri daripada bangsa lain yang didam-idamkan oleh DAP, masih melayu Islam dan tidak dipenuhi kehendak DAP itu oleh Tun M? Dan kenapa DAP terpaksa menurut kehendak Tun M membayar royalti petroleum kepada Terengganu? Siapa yang jadi ‘Pak Turut’? Semestinya ketika ini ramai ahli DAP teringat akan nasihat Karpal Singh untuk tidak berbaik dengan Tun M. Derhakakah DAP kepada mendiang Karpal? Sepertimana tuduh mereka kepada PAS telah mengingkari pesanan almarhum TGNA.
 
Oleh itu jelas, bukannya cadangan mahu mengadakan seni tulisan khat di sekolah-sekolah sebagai menyapu tahi lembu, tetapi menuruti kehendak Tun M, orang yang pernah mereka benci dahulu, dan sehingga kini, DAP masih belum dapat menguasai Tun M? Maka, DAPlah yang menyapu tahi lembu ke muka mereka sekarang ini, kerana musuh nombor satu mereka dahulu, telah mereka jilat dan menjadi ketua mereka sekarang, dalam keadaan masih belum disucikan dosanya yang DAP tuduh dahulu?
 
MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
4 Ogos 2019 - HARAKAHDAILY 4/8/2019