19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Pemimpin perlu peka rintihan rakyat

Berita
Typography

ALOR SETAR: Beberapa perkara penting telah disentuh oleh Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika bertitah merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, mesyuarat pertama, penggal kedua, pagi ini di Wisma Darul Aman.

Antaranya, baginda memberi penekanan berkenaan aspek keharmonian siraturahim yang dilihat sejak akhir-akhir ini tergugat akibat penggunaan media sosial secara tidak berhemah serta menimbulkan prasangka hingga mengakibatkan pertelingkahan.

Baginda juga mengimbau kembali sejarah Kedah di mana dahulunya pernah tercatat berada di dalam peta perdagangan selain kemasukan Islam yang telah merubah lanskap pentadbiran negeri Kedah. Melalui penggemblengan lima tonggak utama iaitu keadilan, kebebasan, permuafakatan, kebijaksanaan dan kemaslahatan menjadikan kesatuan yang diaspirasikan dengan ajaran Islam diamalkan oleh Institusi Istana.

Baginda turut menyarankan agar para pemimpin juga perlu berfikiran di luar kotak, menjana proses pembangunan  di samping peka kepada keresahan serta rintihan rakyat yang mengalami himpitan hidup.

Kenaikan kos sara hidup perlu diberi perhatian dan pemimpin harus melihat agar kuasa monopoli yang memaparkan kerakusan peniaga merangkul keuntungan berlipat ganda dapat dibendung dengan tindakan pengurusan sumber yang cekap serta sering melakukan pemantauan.

Sultan Kedah juga tidak lupa menyentuh berkenaan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan mengharapkan projek-projek mega  seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Zon Ekonomi Khas Bukit Kayu Hitam, Litar Lumba Antara Bangsa dan Bandaraya Getah dapat meletakkan Kedah dalam radar pelabur dari pelbagai negara.

Selain itu baginda juga mengharapkan institusi pendidikan di negeri ini dapat ditingkatkan dengan menjalinkan hubungan kerjasama antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan universiti di Jepun dan beriltizam sebuah kampus cawangan universiti Jepun dibina di negeri Jelapang Padi itu.

Baginda tidak lupa mengingatkan agar kualiti alam sekitar perlu dijaga dengan baik, jangan hanya memikirkan keuntungan sehingga mengabaikan alam semula jadi. Langkah pemantauan  kilang-kilang di zon industri agar menepati piawaian yang ditetapkan dan bersifat mesra alam untuk menjamin kelestarian alam sekitar.

Justeru itu program Kedah Go Green yang dilancarkan pada 1 April 2019 lalu diharapkan mampu memberi sumbangan terhadap anjakan paradigma. Sudah sampai masanya pelbagai kempen dan kesedaran pengguna ke atas sikap, amalan dalam pengurusan sisa, penggunaan barangan terpakai dan teknologi alam sekitar dibudayakan di kalangan masyarakat.

Baginda juga mengharapkan segala tindakan perlulah berkonsep "mencegah sebelum parah dan jangan terhantuk baru tengadah". Dalam merealisasikan ke arah negeri yang makmur dan berdaya huni, pembangunan ekonomi perlulah berpadanan dengan ekosistem, budaya dan agama. Penyalah guna sumber, ketirisan kewangan serta kemusnahan alam sekitar akan menggagalkan hasrat murni tersebut. – HARAKAHDAILY 5/8/2019