19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Kemelut Selangor: Masa terbaik singkirkan DAP

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: Kemelut politik berpunca dari sikap Adun-adun DAP di Selangor telah meletakkan Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari dalam kewajaran untuk menyingkirkan DAP dari pentadbiran kerajaan negeri.
 
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia berkata, Amiruddin boleh memulakan langkah proaktif mengadap Sultan Selangor bagi mewajarkan rombakan Exco Negeri Selangor.
 
"Keluarkan semua Exco daripada DAP, seterusnya singkirkan Speaker Dun Selangor yang juga daripada parti tersebut. Saya seru rakan-rakan Adun di Selangor supaya ambil langkah segera pada masa yang terbaik hari ini untuk singkirkan DAP dari pentadbiran negeri," ujarnya.
 
Menurut beliau, sekiranya sokongan daripada PAS dan Umno diperlukan, tiada sebab untuk kedua-dua parti ini walaupun dengan jumlah kerusi kecil menolak berkerjasama menjayakan agenda ini.
 
Tambah beliau, jika permulaan terlerainya Pakatan Rakyat adalah kerana Langkah Kajang, tiada peliknya jika terlerainya PH juga bermula dengan Langkah Sekinchan.
 
"Jika ada yang masih pura-pura tidak nampak dengan kemelut Selangor ini, saya kira ianya adalah situasi yang sangat malang," katanya. - HARAKAHDAILY 8/8/2019