17
Tue, Sep
45 Artikel Baru

Tanaman Semula: PH abai kebajikan peneroka kecil

Berita
Typography
KENYATAAN Menteri Industri Utama berkenaan penarikan Skim Tanam Semula Sawit bagi pekebun kecil dilihat hanyalah mengabaikan kebajikan peneroka kecil.
 
Alasan yang digunakan adalah bagi memberi keadilan diantara peneroka kecil dengan peneroka-peneroka lain langsung tidak munasabah. Ini kerana, peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) mahupun peneroka kecil FELDA mampu menjual hasil kepada pihak FELDA dengan harga yang jauh lebih tinggi berbanding peneroka kecil persendirian yang hanya boleh menjual kepada peneroka luar dengan nilai yang rendah. 
 
Penarikan semula skim bantuan ini dan menggantikannya dengan Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) hanya akan membebankan peneroka kecil persendirian yang memang sudah terbeban dengan hasil yang tidak menentu sejak 2017 lagi.
 
Ia juga akan hanya menambah kebergantungan peneroka terhadap FELDA walhal Kerajaan sewajarnya mendidik peneroka agar berdikari sekaligus bebanan tidak diletakkan kepada FELDA semata-mata. 
 
Justeru, Kerajaan digesa agar mengkaji semula Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) yang menggantikan skim sedia ada agar segala pinjaman yang kononnya boleh membantu peneroka tidak akan menyusahkan mereka kelak. 
 
“Islam Memimpin Perpaduan”
 
YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu - HARAKAHDAILY 8/8/2019