19
Thu, Sep
41 Artikel Baru

Visa Furada VS Kuota Haji

Berita
Typography

TERDAPAT usaha sebahagian pihak yang memburuk-burukan Arab Saudi berkaitan urusan visa haji terutama apabila terdapat 26 jemaah haji yang dihantar balik selepas terkandas di Jeddah.

Berikut adalah penjelasan kepada situasi berikut:

1.    Pihak Arab Saudi telah pun memberikan kuota haji tahunan melalui Tabung Haji sebanyak 32,000 jemaah haji.

2.    Pihak Arab Saudi juga telah meluluskan kuota tambahan untuk rakyat Malaysia sebanyak 5,000 kuota. Juga diserahkan pada Tabung Haji.

Untuk makluman Indonesia juga hanya mendapat kuota tambahan 10,000 walaupun rakyat mereka 200 juta.

3.    Pihak Tabung Haji sebagai pihak pengurusan Haji 'rasmi' di Malaysia, telah menguruskan jemaah kuota rasmi dan kuota tambahan dengan baik bersama dengan travel yg diberi lesen haji dikenali sebagai PJH.

4.    Satu lagi jenis visa ialah visa haji 'mujamalah'. Mujamalah bermaksud budi bicara yang jumlahnya sangat terhad dan bukan satu ketetapan untuk diberikan bagi pihak yang memohon. Visa ini juga dinamakan Visa 'Furada'.

5.    Visa Furada atau budi bicara bukan hanya untuk rakyat Malaysia malah ianya untuk semua warganegara luar yang tinggal di Malaysia dan tidak menikmati keistimewaan dari kuota rasmi dan kuota tambahan yang hanya dikhususkan untuk warganegara Malaysia.

6.    Keghairahan pihak travel bukan PJH dalam mrmpromosikan Pakej Haji Furada telah menyebabkan ramai jemaah haji mendaftar haji dengan pakej ini tanpa berpandukan kepada bilangan visa Furada dan menyebabkan bilangan jemaah melebihi jumlah visa Furada.

7. Kebanyakan travel mengharapkan kepada janji manis pihak ketiga yang mendakwa mereka mampu mendapatkan visa Furada berdasarkan hubungan rapat mereka dengan pihak kedutaan. Namun pihak ketiga sebenarnya tidak memiliki apa-apa autoriti sama ada di pihak Arab Saudi mahupun pihak Tabung Haji. Mereka malah 'menjual' khidmat mereka dengan harga yang tinggi padahal pihak Arab Saudi memberikan visa secara 'percuma'.

8.    Pihak kedutaan Arab Saudi telah berusaha untuk mengeluarkan visa kepada jemaah haji semampunya namun mereka terikat dengan jumlah bilangan visa mengikut kuota memandangkan jumlah jemaah haji makin bertambah terutama dari negara-negara barat yang menunjukkan jumlah mereka yang memeluk Islam bertambah saban hari.

Kesimpulannya:

• Pihak Arab Saudi telah melakukan khidmat yang sepatutnya.

• Rakyat Malaysia telah mendapat kuota yang sepatutnya.

• Visa Furada adalah mengikut budi bicara dan jumlahnya terhad.

• Pakej Furada berlebihan dalam mempromosi sehingga menawarkan pakej sebelum mengesahkan visa.

• Wujudnya pihak ketiga yang menjanjikan visa padahal mereka bukan wakil rasmi dari kedua-dua pihak berkenaan samada Kedutaan mahupun Tabung Haji.

• Terdapat pula pihak yang berani memalsukan visa sama ada untuk mengaut keuntungan dan menipu jemaah haji.

Diharapkan penjelasan ini menjernihkan kekusutan berkaitan isu visa haji dan tidak menyalahkan pihak yang berkaitan yang telah berusaha sedaya mungkin untuk menyantuni jemaah haji dari seluruh dunia yang jumlah mereka berjuta setiap tahun.

USTAZ AHMAD HASYIMI CHE PA
Presiden WASIM
Alumni Universiti Arab Saudi Malaysia
7 Zulhijjah 1440 | 8 Ogos 2019 - HARAKAHDAILY 9/8/2019

Sumber: https://www.facebook.com/975084812547135/posts/visa-furada-vs-kuota-hajiterdapat-usaha-sebahagian-pihak-yang-memburuk-burukan-a/2318978894824380/