17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Aidil Adha mengajar erti pengorbanan, perpaduan

Berita
Typography

IBADAH korban merupakan antara ibadah kemuncak dalam menguji keimanan dan ketakwaan seseorang hamba kepada Penciptanya.

Peristiwa kepatuhan Nabi Ibrahim 'alaihissalam menyembelih putera kesayangannya dan kerelaan Nabi Ismail 'alaihissalam untuk dikorbankan oleh bapanya sendiri telah memaparkan kepada kita tentang kekuatan dan kehebatan iman yang mereka miliki sehingga mereka sanggup mengorbankan nyawa sendiri semata-mata menjunjung titah perintah Allah S.W.T.

Kehidupan kita di dunia ini tidak dapat lari daripada berkorban. Tidaklah lebih besar pengorbanan yang dilakukan melainkan pengobanan yang dilaksanakan demi menegakkan syiar Islam.

Hari ini, Islam dilemparkan dengan pelbagai tomahan. Serangan bertubi-tubi daripada musuh Islam telah berlaku secara terang-terangan. Benarlah firman Allah S.W.T:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”

(Al-Baqarah: 120)

Sebagai umat Islam, kitalah yang perlu bertanggungjawab membela Islam. Gunakanlah kepakaran dan kemampuan yang kita ada, pengorbanan inilah yang akan menjadi saksi kelak ketika bertemu Allah S.W.T.

Allah SWT mensyariatkan ibadah Haji di Makkah sebagai satu perhimpunan terbesar tahunan bagi umat Islam. Berhimpun atas satu matlamat mentauhidkan Allah dengan pengorbanan yang cukup besar sama ada berbentuk tenaga, masa dan wang ringgit.

Ketetapan Allah S.W.T mensyaratkan Wuquf di ‘Arafah sebagai rukun haji sudah pasti membawa hikmah penyatuan ummah dan sebagai lambang kekuatan Islam dengan pakaian ihram serba putih tidak mengira pangkat, darjat, keturunan, bahasa dan warna kulit. Mereka datang dari serata pelusuk dunia bersatu dengan berpayungkan langit bagi menghayati hakikat ukhuwah Islamiah.

Oleh itu, sempena detik yang mulia ini saya menyeru agar kita berkorban demi Islam dan bersatu-padu atas dasar kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Dengan perpaduan inilah kita akan dapat kembali memartabatkan Islam, menguasai ekonomi serta meningkatkan kualiti sosial umat Islam.

Allah S.W.T berfirman:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara."

(ali-Imran: 103)

Selamat menyambut Aidil Adha.

"Islam Memimpin Perpaduan"
"Damak Maju Berkat"

YB USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang
ADUN Damak - HARAKAHDAILY 10/8/2019