25
Sun, Aug
25 Artikel Baru

Aidil Adha dan nilai sebuah ketaatan

Berita
Typography

ALHAMDULILLAH. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, penghulu kepada segala Nabi. Alhamdulillah, bersama kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat Islam dan Iman hasil daripada pengorbanan pejuang-pejuang agama Allah.

Aidil Adha adalah refleksi inspirasi sirah agung yang dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran mengenai pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan keluarga baginda dalam memberikan ketaatan tidak berbelah bahagi dalam perintah Allah S.W.T.

Ayat ini menjentik naluri keibubapaan kita:

“Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!”. Ismail menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah bapak akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.”

(As-Soffaat: 102)

Justeru itu, Aidil Adha perlu diterjemahkan dari sudut ketaatan dan kepatuhan mutlak hamba terhadap Khaliqnya. Kita mesti mengambil ibrah daripada sifat ketaatan dan keteguhan hati Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S dalam memenuhi perintah Allah.

Allah S.W.T menjadikan sejarah ini berlaku sebagai pedoman dan petunjuk bagi kehidupan pada masa hadapan. Islam menggalakkan umatnya agar mengorbankan jiwa dan harta demi menegakkan kalimah Allah S.W.T serta melaksanakan dakwah.

Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru agar semua umat Islam sama-sama mendoakan agar seluruh jemaah haji dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur untuk dijadikan bekalan dan inspirasi untuk umat Islam berusaha menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Dewan Muslimat PAS Malaysia juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh umat Islam.Ayuh memaknai nilai korban untuk diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

"Islam Memimpin, Wanita Sejahtera"

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
10 Ogos 2019 | 9 Zulhijjah 1440H - HARAKAHDAILY 10/8/2019