25
Sun, Aug
26 Artikel Baru

PAS Papar jengah teratak asnaf sempena Aidil Adha

Berita
Typography
PAPAR: PAS Kawasan Papar telah mengadakan ziarah asnaf menyantuni golongan yang ditaklifkan kepada orang beriman perhatian atas mereka, di mana telah dilangsungkan di Kampung Gana, di sini hari ini.
 
Kunjungan diketuai sendiri Yang DiPertua PAS Papar, Abd Salim Karim dan para pimpinan PAS Papar yang lain antaranya Pengarah Pilihan Raya, Ustaz Mat Razali Mat Lazin dan Ketua Pemuda, Hendri Hamsah.
 
Pertemuan atas tanggungjawab dan keprihatinan itu khususnya melibatkan kalangan keluarga muallaf dan golongan kurang berkemampuan dengan sedikit sumbangan bantuan telah diberikan kepada mereka.
 
Menurut Abd Salim, PAS Papar menyedari masih ramai keluarga kurang berkemampuan yang masih tidak terjangkau oleh kesempatan masa untuk dikunjungi dan disantuni hal ehwal kehidupan mereka.
 
Pun begitu, pihaknya komited dan menyeru sekalian saudara seumat untuk turut sama beramal jariah menghulurkan kemampuan kepada inisiatif ini bagi menggerakkan usaha membantu golongan memerlukan ini.
 
"Pada saat orang lain berpuasa Hari Arafah, sebahagian ahli PAS Papar turun menyantuni asnaf dalam masa sama menghayati pengertian ibadah korban yang dituntut agama.
 
"Moga dengan usaha ini menyuntik pula semangat yang lain untuk turut berkorban segala kemampuannya agar agama Allah tertegak di atas muka bumi ini," ujar Salim. - HARAKAHDAILY 10/8/2019
IMG 20190810 WA0040