25
Sun, Aug
25 Artikel Baru

Hayati Aidil Adha disebalik sejarah Lebuh Acheh

Berita
Typography

KEMERIAHAN sambutan Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban dalam konteks Pulau Pinang wajar membawa kita untuk mengimbau kemeriahan di Lebuh Acheh.

Setiap tahun di musim haji sejak pertengahan kurun ke-19 hingga sekitar 1970-an adalah pesta syiar Islam yang sangat penting di Pulau Pinang.

Lebuh Acheh merupakan tempat himpunan jemaah Haji daripada beberapa negeri iaitu Seberang Perai (dikenali Province Wellesley), Kedah, Perak Utara, Kelantan dan Siam.

Bahkan pelabuhan Pulau Pinang juga adalah tempat persinggahan kapal-kapal haji daripada Indonesia.

Sehingga Lebuh Acheh mendapat jolokan 'Jeddah Kedua' atau boleh juga dikatakan Serambi Jeddah.

Lebuh Acheh pernah menjadi pusat kemasyarakatan, keagamaan dan keintelektualan walaupun pada ketika itu dibawah kekuasaan British.

Segala memori kolektif tadi tersemat dalam lipatan sejarah. Namun amat menghairankan jika umat Islam sendiri tidak mengetahui sejarah penting ini.

Sempena Sambutan Aidil Adha 1440H, kami Pemuda PAS Kawasan Bayan Baru ingin menyeru seluruh anak muda muslim khususnya di Pulau Pinang dan anak muda Malaysia umumnya membuka mata dan menghayati semula sejarah.

Kita harus bangkit "Demi Islam" untuk mengangkat semula naratif kebudayaan yang menjadi syiar Islam ini di Pulau Pinang.

Ya, memang kita sedar bahawa ramai generasi baharu dengan melihat tulisan Jawi pun mereka telah menjadi seperti janggal. Bahkan paling menyedihkan ada sebahagian yang kelihatan Islamofobia, seolah-olah syiar Islam itu asing di bumi Malaysia yang berakar umbi kebudayaan Islam dan Melayu.

Menghayati semangat korban, anak muda Islam harus bangkit dengan izzah menjelaskan kepada masyarakat Pulau Pinang bahawa negeri bertuah ini adalah negeri umat Islam dan persekitarannya juga mesti menghormati tatabudaya masyarakat Muslim.

Sempena bulan haji kali ini, marilah kita angkat semula persekitaran serambi Jeddah di Lebuh Acheh di setiap kali musim Haji dan perayaan Hari Raya Aidil Adha.

Dewan Pemuda PAS Bayan Baru komited supaya hal ini akan direalisasikan pada tahun mendatang dan seterusnya.

'Untuk Negeri Kita', kita bangkit bersama meriahkan syiar Islam di negeri bertuah negeri Pulau Pinang.

Akhir kata, Dewan Pemuda PAS Bayan Baru ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya AidilAdha 1440H. Semoga kita terus kuat berpadu sesama Muslim dalam memberi pengorbanan untuk Islam dan sentiasa menghayati suasana harmoni dalam kepelbagaian masyarakat di Pulau Pinang.

MUHAMMAD ZIKRI ISMAIL
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Bayan Baru - HARAKAHDAILY 11/8/2019