25
Sun, Aug
26 Artikel Baru

Perpaduan, pengorbanan dan kedaulatan

Berita
Typography

AIDIL ADHA yang sinonim disebut 'Raya Haji' bagi umat di rantau ini begitu besar ertinya sebagai simbol dan semangat perpaduan ummah. Pengertian agungnya tidak hanya bersusur galurkan sejarah  keluarga Nabi Ibrahim A.S yang dipuji Allah S.W.T dan terakam dalam al-Quran. Tetapi paling utama teladannya terus menjadi roh amal yang subur dalam kehidupan dan perjuangan umat akhir zaman.

Di Tanah Suci Makkah agenda perpaduan ummah ini terlihat oleh para jamaah Haji yang menyempurnakan ibadah dalam penampilan serupa. Sedang di seluruh pelusuk dunia, umat sedang berpadu di Rumah Allah melaungkan kebesaran agama-Nya disebalik pelbagai kepungan kaum Musyrik yang membenci.

"Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku. Kebanyakan manusia masih berselisihan dan berpecah-belah dalam urusan agama mereka; mereka semuanya akan kembali kepada Kami."

(al-Anbiya': 92-93)

“Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.”

(al-Anfal: 8)

Perakuan tersebut dilafaz disebalik pujian dan kesyukuran pada-Nya. Bahawa ubudiyah dan keikhlasan untuk Islam serta keyakinan kepada janji Allah hingga meletakkan diri melaksanakan pengorbanan yang dimanifestasikan kepada ibadah korban. Moga penghayatan terbesar dari itu membawa roh umat ini berpadu atas kesediaan berkorban untuk agama Allah S.W.T.

PAS kini meletakkan posisinya untuk merealisasi "Islam Memimpin Perpaduan" ke arah membangunkan masa depan rakyat dan negara Malaysia tercinta ini kepada kesejahteraan, kemakmuran dan kemajuan. Namun amat menyedari mehnah dan tribulasi yang dicipta pemerintah PH pasca PRU14 terutama terhadap kepentingan kedaulatan bangsa, agama dan negara.

Justeru, atas segala robekan dan kerendahan martabat yang diangkarakan, PAS tegas berpendirian bahawa segalanya mesti kembali dan diselesaikan dengan memepersada dan memartabatkan Islam. Maka kami menyeru atas semangat perpaduan ummah dan pengorbanan untuk agama ini, kita bangkit pertahankan kedaulatan Islam di Malaysia, sebagai tunjang dan tonggak penting segala hasrat dan cita-cita.

“Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, oleh sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Ku sempurnakan kepadamu nikmat-Ku dan Ku restui Islam itu menjadi agama bagimu.”

(al-Ma'idah: 3)

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Walillahilhamd

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
PAS Pusat
10 Zulhijjah 1440 | 11 Ogos 2019 - HARAKAHDAILY 11/8/2019