25
Sun, Aug
25 Artikel Baru

Ibadah korban simbol perpaduan dan takwa umat

Berita
Typography

KUALA LANGAT: Ibadah korban yang dilaksanakan saban tahun oleh umat Islam di seluruh dunia mempunyai sejarah panjang dari zaman Anbiya dan diibrahkan secara jelas di dalam Quran walaupun menyanggah penerimaan fikiran.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Negeri Selangor, Mohammad Jan Sulong berkata, peristiwa Nabi Ibrahim A.S mengorbankan anakanda baginda, Nabi Ismail A.S adalah kisah yang mencagarkan kasih sayang manusiawi dan mencabar logik akal.

Menurutnya yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Hulu Langat, tanpa pedoman dan panduan wahyu, mustahil setiap Muslim dapat mengerti pengajaran, prinsip dan nilai di balik peristiwa-peristiwa tersebut di mana sangat berkait akidah.

“Sebagai hamba Allah kita mesti yakin dan patuh segala perintah Allah. Tidak boleh kita menggunakan logik akal dalam perkara perintah Allah kerana kemampuan pemikiran kita tidak dapat mengungkai hikmahnya.

“Prinsip yang sama juga terpakai dalam semua urusan hidup kita. Apa yang diperintahkan Allah wajib dilaksanakan termasuk dalam urusan keluarga, pentadbiran masyarakat berbilang bangsa dan pengurusan negara.

“Mutakhir ini kesabaran umat Islam di negara ini terus teruji. Sebagaimana kita bersatu hari ini untuk melaksanakan Ibadah korban, kita juga perlu perkemaskan kesatuan demi menghadapi pelbagai isu yang merempuh umat.

“Di Hari Raya Korban ini kita korbankan sifat ego dan kesombongan kita. Pulanglah kepada penghayatan Islam yang sebenar dan kembali pertahankan agama Islam jika ada sebesar zarah semangat Islam di dalam diri kita tanpa malu dan segan.

“Allah telah menegaskan bahawa kemuliaan dan kekuatan itu hanya bagi Allah dan Rasul-Nya serta orang beriman. Kita akan menjadi hina sekiranya mengharap, menumpang kekuatan orang,” tegasnya merujuk ayat 8 Surah al-Munafiqun semasa berucap di Program Korban Perdana PAS Selangor di Jenjarom, di sini semalam.

Majlis anjuran Lajnah Kebajikan PAS Selangor ini telah mengorbankan lima ekor lembu dan dilapah bersama-sama Jabatan Amal serta masyarakat Orang Asli dan masyarakat setempat.

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi dan bekas Exco Kerajaan Selangor, Dr Abdul Rani Osman turut hadir dan turun menziarahi sambil memberi sumbangan dan rawatan kepada warga emas dan pesakit sekitar. - HARAKAHDAILY 13/8/2019