21
Tue, May
18 Artikel Baru

Tema muktamar persediaan hadapi PRU14

Berita
Typography

PELBAGAI pihak menyifatkan ucaptama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada muktamar ke-63 ini sebagai  persiapan untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Perwakilan Petaling Jaya Selatan, Ghazali Shaari berkata ucaptama Tuan Guru Abdul Hadi sebagai amanat yang menyeluruh bagi menghadapi PRU14.

Menurutnya, ucapan tersebut disifat menyeluruh sesuai dengan tema Sejahtera Bersama Islam.

"Islam sudah menetapkan satu kaedah dalam menjaga sebuah negara daripada berlaku sebarang penyelewengan, bahkan PAS mempunyai caranya sendiri.

"Pilih Islam bukan bererti orang bukan Islam perlu memeluk Islam tetapi mereka perlu menyokong Islam untuk mentadbir negara," katanya ketika ditemui.

Manakala perwakilan dari Parit, Perak berkata, ucapan dasar Presiden PAS merupakan satu alternatif terbaik bagi rakyat untuk memberi mandat kepada PAS.

Muhammad Ismi Mat Taib berkata, kandungan ucapan berkenaan mencakupi pelbagai aspek sehingga konflik yang berlaku dalam masyarakat sejak kebelakangan ini.

"Kita lihat dengan cara Islam iaitu Sejahtera Bersama Islam mampu menyelesaikan masalah rakyat dengan cara al Quran dan Sunnah.

"Ucapan Presiden merupakan pandangan jauh serta mencakupi pelbagai aspek dalam kehidupan rakyat," kata Yang Dipertua PAS Parit itu.

Sementara itu, perwakilan PAS Machang, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman berkata, ia merupakan satu tawaran PAS kepada rakyat bagi menghadapi PRU14.

Langkah tersebut katanya, merupakan jawapan bagi formula Barisan Nasional dan parti-parti lain yang dilihat gagal memberi jaminan menjaga kebajikan rakyat.

"PAS sememangnya menolak fahaman sempit chauvinist tetapi Islam perlu diberi ruang untuk memerintah agenda pelancaran Wins kelak," jelasnya.

Menurutnya, PAS akan melancarkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (Wins) bagi diberi penjelasan kepada rakyat mengenai langkah tersebut.

Perwakilan PAS dari Pandan, Mohd Irman Abdul Wahab turut menyokong ucapan perasmian Presiden PAS.

Menurutnya, Islam  mempunyai kaedah tersendiri bagi menyelesaikan masalah yang mencengkam rakyat serta negara dengan pelbagai krisis.

"Rakyat tidak kira latarbelakang bangsa dan agama boleh melihat sejauhmana kemampuan PAS untuk memerintah negara dengan cara Islam.

"Kita perlu memahami konsep serta tema yang dibawa PAS iaitu Sejahtera Bersama Islam pada muktamar kali ini," katanya. - HARAKAHDAILY 29/4/2017