19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Tulisan Jawi: Ada api dalam sekam

Berita
Typography
ISU tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 kegunaan 2020 terus panas. Ia semakin panas apabila Persatuan Dong Zong yang mempunyai pengaruh besar dalam kalangan masyarakat Cina, yang tidak pernah setuju dengan sistem pendidikan negara turut masuk campur.
 
Ketika Kenenterian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Program j-QAF pada tahun 2004, antara subjek yang diperkasakan adalah subjek Bahasa Arab sebagai bahasa asing di sekolah-sekolah kebangsaan. Program ini disambut baik oleh semua para pendidik dan para waris.
 
Namun begitu, program j-QAF ini tidak lari dari isu apabila para waris bukan Melayu/bukan Muslim di sekolah-sekolah kebangsaan mendapati anak-anak mereka membawa pulang buku teks subjek Bahasa Arab. Rungutan para waris ketika itu adalah isu yang sama hari ini iaitu sangkaan mereka ada usaha Islamisasi kepada anak-anak mereka.
 
Isu tersebut berjaya ditangkis dan diselesaikan oleh KPM dan kerajaan sebelum ini pada ketika itu yang membuahkan hasil yang baik. Bagaimana KPM dan kerajaan ketika itu berjaya menangkis budaya Islamophobia dalam kalangan rakyat negara ini. Hasilnya, anak-anak bukan Melayu/bukan Muslim kekal belajar subjek Bahasa Arab sehingga hari ini. 
 
Pengajaran Jawi dalam subjek Bahasa Melayu adalah kurikulum penerapan budaya dan roh sejarah Bahasa Melayu yang berasal dari tulisan Jawi. Diselitkan 6 mukasurat sebagai teknik tulisan kaligrafi Jawi berdasarkan kaedah tulis, tiru dan tekap. Kalau inilah yang disangka oleh Persatuan Dong Zong dan pemimpin DAP terdapat unsur Islamisasi, bererti amat jahilnya mereka mengenai perkembangan pendidikan.
 
Isu tulisan Jawi ini sebenarnya dilihat ada pihak yang tidak bertanggungjawab membangkit kebencian dan api perkauman sesama rakyat didalam negara ini. Setelah perpaduan negara ini dibina dengan begitu utuh selama 60 tahun lamanya. Bahkan yang lebih menyakitkan apabila budaya kebencian ini dibangkit oleh sesetengah pemimpin negara ini dan persatuan-persatuan yang terlalu rasis. Ada 'api dalam sekam' yang merebak dalam negara hari ini. 
 
Isu tulisan Jawi ini, bukanlah isu besar yang perlu dihadap oleh kerajaan hari ini kerana banyak lagi masalah-masalah negara yang belum diselesaikan oleh kerajaan (PH) hari ini seperti ekonomi negara, kejatuhan matawang ringgit dan isu kos sara hidup rakyat yang semakin menekan.
 
Lajnah Pendidikan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang menggesa agar kerajaan menyokong penuh kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah memutuskan agar pengajaran Jawi di dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 ini terus diajar di sekolah-sekolah kebangsaan termasuklah sekolah-sekolah vernakular.
 
Sekian. 
 
''Demi Islam''
 
USTAZ ABDUL RAZIB ABDUL RAHIM 
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang - HARAKAHDAILY 17/8/2019