Gagasan baru lebih bersifat setiakawan

Berita
Typography

PAS telah membentuk gagasan baru yang lebih bersifat setiakawan yang melibatkan semua kaum, parti politik, NGO dan tokoh-tokoh berbagai kaum dalam negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana PAS mengambil kira wujudnya masyarakat majmuk walaupun parit itu menonjolkan Islam sebagai penyelesaian

Tambahnya, dalam masa yang sama perlu difahami bahawa Islam sebagai agama yang sempurna termasuk di dalamnya ideologi dan teori-teori politik.

"Sekiranya pihak lain dalam negara kita, kaum Cina, India dan sebagainya yang boleh memperjuangkan ideologi yang tiada kaitan dengan (kaum) India, (agama) hindu dan buddha, ideologi barat mengapa mereka tidak boleh menerima pendekatan politik Islam dalam aspek politik, ekonomi dan lain-lain yang tak menyentuh kebebasan beragama," ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.

Menurutnya, ini yang perlu PAS memperkenalkan melalui budaya politik matang dan sejahtera.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, ini sebagai satu alternatif kepada pakatan yang pernah diwujudkan sebelum ini apabila ada rakan-rakan politik yang tidak menghormati pendirian Islam yang dibawa oleh PAS.

"Di mana Islam ialah garis sempadan yang tidak boleh diganggu. Kita tak ganggu pihak lain.

"Bila pihak lain sudah ganggu pihak kita, ini sudah langgar sempadan, sebab itu kita buat satu gagasan baru yang lebih baik," jelas beliau. - HARAKAHDAILY 29/4/2017