21
Sat, Sep
28 Artikel Baru

PAS Teluk Intan kehilangan penggerak ekonominya

Berita
Typography

TELUK INTAN: PAS Kawasan Teluk Intan kehilangan seorang pemimpin apabila Timbalan Ketua Muslimat PAS Teluk Intan, Faridah Rajiah Ahmad Fakhrur Razi kembali ke rahmatullah di Hospital Besar Kuala Lumpur jam 9:07 malam kelmarin.

Ketua Dewan Muslimat PAS Teluk Intan,  Robi'atun Mohd Abas melahirkan rasa sedih dengan pemergian almarhumah pada malam Jumaat yang mulia dan merupakan kehilangan besar buat seluruh warga PAS Teluk Intan.

"Almarhumah Hajjah Faridah merupakan penggerak utama ekonomi Muslimat PAS Teluk Intan, kerana selain jawatannya sebagai Timbalan Ketua dan beliau juga merupakan Ketua Lajnah Ekonomi Dewan Muslimat dan PAS Kawasan.

"Beliau sangat berperanan dalam usaha mencari dana untuk Dewan Muslimat dan PAS Kawasan. Antara program yang pernah beliau anjurkan ialah hi-tea bersama pimpinan PAS Pusat dan Makan Malam Amal bagi melengkapkan pembinaan KOMPASTI," ujarnya

Maklum Robi'atun, ketika hayatnya, Faridah juga turut melibatkan diri secara aktif dalam gerak kerja pilihan raya di mana komitmen dan kesungguhan beliau dalam kerja-kerja jemaah jelas terbukti menerusi katanya yang penuh inspirasi.

"Selagi kaki ini mampu melangkah, saya akan tetap menghadiri program dan mesyuarat, kerana tiada istilah rehat dan cuti dalam perjuangan melainkan sakit dan mati," demikian kata-kata almarhumah yang cukup berbekas dalam ingatan sekalian sahabatnya.

Faridah juga merupakan mantan Ahli Jawatanluasa  Dewan Muslimat PAS Negeri Perak dan beliau juga adalah isteri kepada p  mantan ADUN PAS Changkat Jong, Anuar Sudin.

Almarhumah yang meninggal kerana kanser semadikan di kampung halaman suaminya iaitu diperkuburan Orang Islam Sekamat, Kajang dan turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik. - HARAKAHDAILY 7/9/2019