22
Sun, Sep
35 Artikel Baru

Tutup 21 IPG: KPM digesa jawab pendedahan BH

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa segera menjelaskan status dan perkembangan sebenar cadangan penutupan 21 Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan akhbar Berita Harian (BH) hari ini yang mendedahkan berkenaan cadangan penutupan 21 Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara dan pengesahan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sendiri mengenainya.

Dijelaskan bahawa 10 daripadanya akan dijadikan pusat latihan dalam perkhidmatan dan ‘co-exist’ dengan Kolej Vokasional dan Politeknik manakala 11 lagi akan dijadikan institut latihan awam atau untuk tujuan lain.

Berbaki hanya enam IPG sahaja yang dikekalkan fungsi asalnya untuk melatih bakal guru sekolah rendah yang dikelolakan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

“Penutupan ini sekiranya diteruskan adalah amat tidak wajar dan merupakan tindakan regresif memandangkan institusi ini yang dahulunya dikenali sebagai maktab perguruan telah dinaik taraf sejak 2005/2006 dan bermulanya Program Pensiswazahan Guru di IPG,” kata Mohd Khairuddin yang juga AJK PAS Pusat.

Sejak dari itu, ujarnya IPG telah memberikan sumbangan yang besar terhadap peningkatan profesionalisme keguruan dan kualiti pendidikan di negara ini.

Menurutnya, banyak tenaga pengajar dan para guru yang berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi telah dilahirkan oleh institusi itu.

Justeru, kata beliau KPM digesa segera menjelaskan status dan perkembangan sebenar cadangan itu memandangkan ia melibatkan masa depan sektor pendidikan negara dan penyertaan generasi muda terutamanya dalam kalangan orang-orang Melayu sebagai guru sekolah. – HARAKAHDAILY 10/9/2019