22
Sun, Sep
35 Artikel Baru

HPU914: Simbolik rakyat bangkit pejuang perubahan

Berita
Typography
IPOH: Semua rakyat Malaysia wajar menyambut baik Himpunan Penyatuan Ummah yang bakal berlangsung 13 dan 14 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. 
 
Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, himpunan ini pastinya akan mendapat sambutan hangat dan menyeluruh daripada ahli PAS dan Umno yang berada di Malaysia ini. 
 
"Pendekatan PAS melalui tema "Islam Memimpin Perpaduan" membawa mesej jelas kepada semua kaum dan bangsa wajar disambut baik oleh rakyat Malaysia. Himpunan ini pastinya memberi impak positif dalam membangunkan negara Malaysia selepas PRU15 akan datang.
 
"Umno sebagai sebuah parti berpengalaman memerintah negara bersama parti komponennya, MCA dan MIC juga akan mengerahkan ahlinya hadir ke himpunan ini tanpa memandang negatif meskipun dinamakan Penyatuan Ummah. 
 
"Seluruh rakyat Malaysia perlu sedar akan kemelut semasa di bawah pimpinan Kerajaan PH ini. Oleh itu, rakyat seharusnya bangkit dan menunjukkan bahawa ianya memerlukan perubahan di dalam PRU15," ujarnya.
 
Dr Najihah menekankan, dasar yang diperkenalkan oleh PAS dan Umno adalah jelas di mana permuafakatan dua parti politik ini akan menguntungkan rakyat Malaysia.
 
Beliau juga menyeru agar semua Muslimat menghadirkan diri ke PWTC pada 13 September bagi menyertai Himpunan Wanita Penyatuan Ummah yang akan menampilkan pelbagai program seperti Gelombang Munajat, Demo Hijab, Pentas Anak Muda dan lain-lain lagi. 
 
Muslimat PAS Perak katanya, menyokong penuh segala usaha mengatur dan merancang perjalanan Himpunan Penyatuan Ummah ini serta menyokong piagam yang akan ditandatangani oleh kedua pimpinan tertinggi PAS dan Umno. - HARAKAHDAILY 11/9/2019