22
Sun, Sep
35 Artikel Baru

HPU S'gor cuba disabotaj, tukar ke Batu Caves

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: PAS Negeri Selangor menyifatkan program Munajat dan Ceramah Perdana Pra Himpunan Penyatuan Ummah dijadualkan berlangsung di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang pada malam esok cuba disabotaj.
 
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal, Ustaz Mohd Farhan Madzlan berkata, pada awalnya permohonan lokasi program telah mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), namun telah menarik semula kelulusan tersebut, hari ini.
 
Harakahdaily juga menerima satu salinan laporan polis mengenai seorang pengadu yang mendakwa himpunan tersebut berbaur perkauman dan agama dengan dijenamakan menggunakan Himpunan Penyatuan Ummah.
 
Malah, si pengadu turut mendakwa himpunan tersebut adalah cubaan menghasut dan mengapi-apikan semangat perkauman orang Melayu di Selayang.
 
Kesali Farhan, PH yang mencanang hak kebebasan berhimpun menunjukkan sikap sebaliknya, malah mempergunakan kuasa nama-nama besar seperti Menteri Besar Selangor dan Ahli Parlimen Kapar, Dato' Abdullah Sani Abdul Hamid supaya menekan MPS menarik semula permohonan yang telah diluluskan. 
 
Ulas beliau, pihaknya tidak akan sesekali tunduk kepada tekanan yang diberi, bahkan mengajak rakyat untuk sama-sama mengimarahkan munajat hajat dan ceramah perdana yang dihadiri oleh pimpinan tertinggi dari kedua-dua parti, PAS dan Umno.
 
"Jangan biarkan mereka bermaharajalela dengan kerakusan dan kezaliman mereka ini. Kita tunjukkan kekuatan kita dengan sama-sama hadir. Ummah di Selayang, Gombak, Hulu Selangor dan daerah-daerah berdekatan perlu ditonjolkan. 
 
"Rakyat sedang menantikan kita. Penyatuan Ummah adalah perkara yang sangat dinanti-nantikan oleh masyarakat muslim ketika ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini.
 
Ujarnya, program tetap diteruskan seperti yang dijadualkan, namun pihaknya terpaksa memindahkan program ke Dewan Kelab Lincah Mahaguru Omar (KLMO) Taman Bolton Batu Caves. - HARAKAHDAILY 11/9/2019