22
Sun, Sep
35 Artikel Baru

Sindiket MyKad: Cara mudah negara dikuasai

Berita
Typography
PENGESAHAN Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terhadap sindiket penjualan Kad Pengenalan Malaysia (MyKad) merupakan siren kecemasan negara yang menuntut tindakan segera kerajaan. Pendedahan rentetan siasatan daripada aduan awal oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu membenarkan segala kecurigaan dan spekulasi berkaitan selama ini.
 
Khususnya dalam skop berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara yang pernah dibongkar dan dipersoalkan selama ini, bermakna semuanya adalah benar belaka. Negara tidak memerlukan angkatan tentera dari luar untuk menyerang, tetapi musuh kini sudah berada di sekeliling kita. Paling menakutkan, mereka sukar dikenali kerana turut memiliki tanda pengenalan yang sama.
 
Sehubungan itu, gesaan beberapa NGO supaya dibentuk Suruhanjaya Siasatan DiRaja terhadap isu ini amat wajar dan perlu disegerakan bagi memastikan tindakan segera bagi menangani masalah ini. Kami juga kesal kerana sehingga ke saat ini pihak kerajaan belum mengeluarkan sebarang pendirian apatah lagi arahan berkaitannya.
 
Berdasarkan beberapa kejadian seperti data imigresen pernah hilang dahulu, jumlah kemasukan warga asing yang tinggi setiap hari ke Malaysia, sistem di KLIA yang mengalami gangguan terburuk dalam sejarah dan banyak lagi; menjadikan kebimbangan kami sebagai rakyat tidak boleh dipandang enteng. Dengan memiliki MyKad tidak sah juga bermakna banyak urusan negara boleh dicerobohi.
 
Usaha penyusupan musuh menjadi semakin mudah dan negara akan pada bila-bila masa dapat ditawan tanpa peperangan. Apatah lagi pihak yang menggunakan kesempatan demikian untuk mengaut pelbagai kelebihan yang ada dalam negara, menjadikan rakyat sendiri kehilangan banyak peluang dan hak. Oleh itu, hukuman berat wajib dikenakan terhadap mereka yang terlibat.
 
"Islam Memimpin Perpaduan"
"Demi Islam"
 
IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 12/9/2019