21
Sat, Sep
29 Artikel Baru

HPU914: Akan kerah demo depan Pejabat PAS, PWTC

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS akan mengembleng rakyat mengadakan demonstrasi di depan Pejabat Agung PAS dan PWTC sekiranya piagam yang dimeterai tidak membawa kebaikan kepada semua rakyat.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, Pemuda PAS sedia menghadapi keadaan itu sebagai satu teguran dan demi membetulkan langkah dibuat kedua parti ini dalam penyatuan yang diadakan.

Kesediaan itu diikrarkan beliau dalam sesi Townhall Anak Muda yang dilangsungkan sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini petang semalam.

"Sekiranya piagam ini tidak memperjuangkan keadilan pada formula Islam, sekiranya perjuangan ataupun muafakat ini tidak memperjuangkan solusi masalah rakyat.

"(Jika sekiranya piagam ini) tidak berlandaskan kepada idealogi politik (untuk semua kaum), sekiranya ia hanya bergantung kepada skop Melayu sahaja, saya cadangkan buat demonstrasi," gesanya.

Sehubungan itu, beliau melontarkan komitmen dan jaminan kepada rakan-rakan bukan Isla, daripada kaum Cina, India dan lain-lainnya supaya tidak bimbang dengan penyatuan tersebut kerana PAS dan Umno bukan seperti DAP.

Ketika sama beliau turut memperingatkan bahawa perjuangan yang dibawa sama sekali tidak akan boleh dimenangi secara membangkitkan sentimen perkauman atau keterlampauan.

"Kalau kawan-kawan daripada MCA nak menang hati orang Cina dengan menggunakan tiket rasis, kamu akan kalah. Kamu tidak dapat menandingi 'kehebatan' rasisnya DAP.

"Kalau kamu nak memperjuangkan kemenangan bangsa Melayu dengan menggunakan pendekatan Liberal, kamu tak akan menang dengan PKR. Kamu tidak akan menang dengan BERSATU.

"Kalau kami nak ambil hati orang Melayu, kamu kena faham bahawasanya resepi kejayaan untuk menarik hati orang Melayu adalah pada nama agamanya Islam," nasihat beliau.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak melakar perubahan dengan mengenepikan segala pertembungan lampau dan masa kini kepada penyatuan yang diyakini dikurniakan Allah Taala ini.

Iaitulah katanya, dengan perjuangan yang tulin dan ikhlas hingga Allah menghadirkan kemenangan atas usaha untuk mendaulatkan agama dan syariah-Nya, serta menyelesaikan masalah negara dengan formula Islam. - HARAKAHDAILY 14/9/2019