21
Sat, Sep
30 Artikel Baru

HPU914: Aku, PAS dan Umno

Berita
Typography

ALHAMDULILLAH di atas segala-segalanya. Bicara Dam’ah wa Ibtisamah(Setitis Air Mata dan Seulas Senyuman) ini ditulis khas untuk menyatakan rasa syukur dan menyatakan harapan. Tulisan ini tentang “Aku, PAS dan Umno”. Luahan nurani dari rasa hati ini dinukil khas melalui tinta perjuangan demi menajam fikiran dan menaikkan semangat Islami agar rasa-rasa itu terus menjulang tinggi. Semoga semangat ini kekal membara dari kini sampai akhir nanti. Semoga tulisan ini ada kebaikan dan manfaatnya buat sahabat-sahabat seperjuangan sekalian. Saya doakan kemuliaan dan kebahagiaan buat kalian dalam perjalanan dan kembara istiqamah menuju kecemerlangan dunia dan Akhirat. Mudah-mudahan kesampaian. Allahumma Aamiin!

Saya lahir di bumi Niah, Miri, Sarawak Darul Hana. Satu-satunya negeri dalam Malaysia yang tiada parti United Malays National Organization (Umno)! Saya dilahirkan dalam keluarga yang menyokong Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu parti tunjang kepada Kerajaan Sarawak. PBB ialah rakan kongsi BN-Umno sehingga PRU14 sebelum kini menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Menariknya saya hanya diperkenalkan dan bersama dengan jamaah yang saya cintai lagi dokongi kini dan berharap istiqamah dengannya sampai mati iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ketika menuntut di Taman Ilmu & Budi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sebelum dari zaman universiti, saya dimomokkan betapa PAS itu Parti Ajaran Sesat. Bahkan di Sarawak ketika itu adanya PAShofobia iaitu orang fobia dengan PAS serta memandangnya dari sudut negatif dan neraca hitam. Bahkan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz saat itu saya di 'brainwash' bahawa beliaulah pemecah-belah umat Islam di Malaysia. Setelah habis belajar dan kembali ke kampung halaman, antara yang sampai ke telinga saya ialah “rugi-rugi saja belajar tinggi-tinggi tapi masuk pembangkang (PAS)!”. Saya setuju bahkan jika ingin kemenangan politik semata-mata di Sarawak, PAS bukanlah parti yang tepat buat masa ini. Saya pernah ditawarkan menjadi pimpinan PBB, namun saya menolak secara baik. Saya memilih kekal bersama dengan Gerakan Islam PAS ini keranaintima’ (penggabungan diri) saya bersama PAS kerana dasar dan prinsip Islamnya! Bukan kerana pangkat, harta dan kegemerlapan dunia. Hanya kerana ingin melihat Islam menang dan berhajat menang dengan Islam!

Bagaimana pula dengan Umno? Tidak banyak kenangan saya bersama Umno. Apa yang pasti Umno sentiasa menjadi musuh politik PAS (kecuali seketika di tahun 1970-an) kerana perbezaan halatuju dan citra perjuangan. Malah ketika zaman kampus proksi PAS sentiasa tidak sebulu dengan proksi Umno di universiti. Di zaman kampus, saya bertanding atas tiket We Unite For Islam (WUFI) dan kemudiannya menjadi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIA atas tiket WUFI. Proksi Umno pula yang saban tahun tidak pernah dapat mengalahkan dominasi WUFI pada ketika itu menubuhkan proksi yang diberi nama SAHABAH dengan moto As-Sahabah Fid Dunya Wal Akhirah. Namanya berbaur keAraban untuk hendak menampakkan ciri Islamik bagi menyaingi WUFI, namun tetap juga tewas!

Demikianlah sejarah! In shaa Allah hari ini Sabtu, 14 September 2019 akan terciptalah sejarah baru dan saya hadir di sini untuk menyaksikannya. Saya akan menjadi saksi termeterainya Piagam Muafakat Nasional yang mengikat penyatuan dua parti tersebar umat Islam-Melayu di Malaysia, PAS dan Umno. Parti yang secara tradisinya bermusuh kini menjadi saudara, dulunya lawan kini kawan! Apa yang lebih mendebarkan rasa, saya akan menyaksikannya sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, salah seorang pimpinan jamaah siyasah, dakwah dan tabiyah tercinta ini! Semoga Allah merahmati dan memberkati penyatuan ini Demi Islam ke arah membina Malaysia Sejahtera.

Sepanjang hari semalam sejak pagi hingga ke malam tadi kita menyaksikan lautan manusia dengan tema putih berkumpul di PWTC tempat berlangsungnya HPU914. Mereka hadir ikhlas bersemangat dan terpancar kegirangan di wajah sekalian yang berhimpun. Ribuan datang dari jauh dan dekat dari seluruh negara tidak berkira semata-mata ingin menyaksikan umat yang bertuah ini kembali bersatu hati! Buang yang keruh, ambil yang jernih. Kebanyakan mereka datang hadir ke PWTC ini dengan duit dan perbelanjaan sendiri, tanpa ditaja. Ada yang menaiki pesawat, ada yang menaiki bas, ada yang menaiki keretapi, ada yang berkenderaan 4 roda, ada yang berkenderaan 2 roda dan lain-lain. Meski berbeza jenis kenderaan, apa yang pasti ialah jalan yang ingin dituju adalah jalan yang sama dan cita-cita yang ingin dicapai seiringan.

Banyak moment dan detik unik yang kita saksikan. Bendera atau logo PAS berkibar megah di PWTC beriringan dengan bendera Umno. Timbalan Presiden PAS menyampaikan Khutbah Jumaat di Surau di Ibu Pejabat Umno. Takbir bergema di PWTC! Ahli Umno dan PAS juga sekalian pendokong, penyokong dan simpatisan duduk bersama mendengar ucapan-ucapan pimpinan, saling bersalaman dan melempar senyuman (sebelum ini janggal kini kian serasi), ngeteh dan ngopi bersama, reunion kembali tanpa mengira hijau atau merah, seketika mengimbau kenangan lama yang kadangnya mengusik jiwa serta pastinya menganyam mimpi indah dan memintal impian bahagia masa depan untuk agama, bangsa, negara dan ummah! Anggota Jabatan Amal Malaysia dan Skuad Sabil berganding bahu bertugas. Pemuda PAS dan Pemuda Umno sepentas. Muslimat PAS dan Wanita Umno bermunajat bersama. Berbahagialah kita semua dengan penyatuan ummah ini. Abaikan DAP dan sekutunya yang meroyan sehari-dua ini. Teruskan melangkah maju ke hadapan dengan jujur, ikhlas, tawadhuk dan semata-mata demi redha Allah!

Inilah senario semasa dan kisah benar yang berlaku yang meyakinkan saya bahawa PAS dan Umno hakikatnya sudah menang, tidak kira apa jua keputusan pilihanraya mendatang! Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Surah Al-Hujurat Ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Oleh itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.”

Buat akhirnya, bersamalah kita menghayati lirik Lagu Tema Rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) - "Berjihadlah"!

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan semangat dan roh kebenaran
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau susah memempuh cabaran

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan obor sinar kebahagiaan
Berjihadlah wahai kaum muslimin
Biar syahid ataupun kemenangan

Berjuanglah wahai Ansorullah
Dengan matlamat Daulah Islamiah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan

Bergeraklah ke gerbang jasa
Kalah menang bukan alasannya
Sucikanlah niat di hati
Hingga nyata benarnya janji Rabbi

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan semangat dan roh kebenaran
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Walau susah memempuh cabaran

Bersatulah wahai kaum Muslimin
Dengan obor sinar kebahagiaan
Berjihadlah wahai kaum Muslimin
Biar syahid ataupun kemenangan

Berjuanglah wahai Ansorullah
Dengan matlamat Daulah Islamiah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan

Bergeraklah ke gerbang jasa
Kalah menang bukan alasannya
Sucikanlah niat di hati
Hingga nyata benarnya janji Rabbi

Selamatlah Parti Islam melangkah
Membimbing ummah ke medan siasah
Berpedomankan Al-Quran dan Sunnah
Suburlah hidupnya dan pasti berbuah....
Suburlah hidupnya dan pasti berbuah....
Suburlah hidupnya dan pasti berbuah....

Demikianlah catatan yang saya ingin rekodkan sebagai arkib masa depan. Atas segalanya, siiru ‘ala barakatillah, teruskan perjuangan liridhalLah!

MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI
Bilik 909, Hotel Seri Pacific, Bersebelahan PWTC.
2.07 pagi, 14 September 2019 | 14 Muharram 1441 - HARAKAHDAILY 14/9/2019