21
Sat, Sep
29 Artikel Baru

HPU914: PAS-Umno tidak bawa perangai DAP-PH

Berita
Typography

KUALA LUMPUR*: Roh jiwa umat Islam telah menyebabkan PAS dan Umno duduk bersama setelah adanya ancaman terhadap Melayu-Islam walaupun selama ini keduanya membawa haluan politik berbeza.

Timbalan Presiden PAS, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, kerjasama ini bukan hanya untuk PRU15, tetapi PAS dan Umno tekad jayakan penyatuan ummah ini hingga ke akhir zaman.

Perkara itu dinyatakan beliau ketika berceramah sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) yang dilangsungkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.

Bentangnya, PAS telah membuktikan roh kesatuan itu, walaupun menjadi lawan terkuat kepada Umno hingga jatuh hilang pemerintahan, tetapi sebaliknya PAS telah menyambut Umno sebagai kawan.

Jelas beliau, PAS dan Umno tidak semudah-mudahnya untuk berpecah lagi atau bersaing termasuk dalam pembahagian kerusi pilihan raya, sebaliknya muafakat itu akan diurus secara kebersamaan.

Terang Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, muafakat PAS dan Umno akan menerajui politik negara dengan jaminan kestabilan dan tidak akan sekali-kali mengenepikan atau menjadi ancaman kepada hak bukan Islam.

"Kita menerima hakikat Malaysia sebuah masyarakat majmuk, kita menerima hak-hak mereka. Tetapi kita tak boleh terima kaedah DAP yang menjadi ancaman kepada orang Melayu dan Islam dalam negara kita.

"Kami ada pengalaman, bangsa DAP bila menghadapi sesuatu keadaan kritikal, dia sanggup tinggal kawan yang bersama-sama dia. Waktu dalam BA menghadapi PRN Sarawak, DAP isytihar keluar BA untuk hadapi PRN Sarawak.

"Lepas pilihan raya dia masuk balik. Waktu bersama dalam PR sekali lagi PRN Sarawak, DAP sanggup tinggal kawan demi jaga kepentingan parti dia. Ini parti yang tidak boleh dijadikan kawan dalam politik, apatah lagi nak angkat mereka sebagai pemimpin.

"Kita tidak memusuhi bangsa Cina, kita tidak musuhi bangsa India, tidak kita musuhi orang Iban, Kadazan. Bangsa bukan pilihan kita, bangsa bukan ketentuan kita, ia ketetapan Allah," ujarnya.

Katanya, tiada manusia minta dia dilahirkan mengikut bangsa tertentu, namun telah terbukti rumpun Melayu boleh hidup aman damai dengan menjamin hak orang bukan Islam dan kebebasan mereka.

Malah Tuan Ibrahim turut menyatakan iltizam penyatuan itu tidak berakhir antara kedua parti, tetapi juga rakyat negara ini agar iktibar perpecahan sebagaimana berlaku di beberapa negara dunia tidak terjadi di sini.

Beliau turut menyampaikan nasihat dari ibrah Perang Hunain dan peringatan kalam Allah mengenainya iaitulah tidak merasa sombong dengan jumlah yang ramai atau bergerak untuk mendapat kuasa kemegahan dunia.

Terdahulu dalam ucapannya itu beliau turut menggambarkan ketakutan Kerajaan PH terhadap penyatuan itu hingga menggambarkan PAS dan Umno akan mewujudkan negara ala Taliban dan masalah polarisasi kaum.

"Umno memerintah 60 tahun negara aman. PAS memerintah Kelantan lebih 30 tahun aman. Bayangkan dua-dua parti memerintah tidak pernah berlaku tragedi besar kecuali sedikit detik 13 Mei 1969.

"Tak mungkin dua parti yang besar ini, bila berlaku muafakat, tiba-tiba jadi Taliban, jadi masalah perkauman. Tidak mungkin. Sebenarnya mereka sangat bimbang sampai minta check jantina.

"Masalah jantina ini bukan masalah PAS dengan Umno tau, masalah mereka (PH). Mereka yang perlu semak jantina. Saya tak suka sangat sebut bab ini, tapi dia sebut itu, kita terima kasihlah," bidasnya. -HARAKAHDAILY 14/9/2019