22
Tue, Oct
28 Artikel Baru

Kristianisasi: PAS minta polis siasat Steven Sim

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berhubung agenda Kristianisasi yang dibawa DAP di negara ini.

Menurut Naib Presidennya, Ustaz Idris Ahmad berkata, Steven perlu memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Dalam masa yang sama, beliau meminta semua organ parti itu untuk membuat laporan polis berhubung kenyataan  Steven itu.

Katanya, DAP sering kali mengkritik kerjasama PAS dan Umno seperti kumpulan ekstrem Taliban, membawa huru hara, perkauman dan sebagainya.

“Perlu diingat kerjasama PAS dan Umno menepati perlembagaan negara dan tidak mengenepikan soal kebebasan agama lain serta tidak ganggu agama lain untuk beramal dengan amalan masing-masing.

“Meskipun begitu, Islam tetap agama persekutuan. Persoalannya sekarang, bagaimana Kristian boleh menjadi satu agenda (Kristianisasi) di negara ini dan apakah ia naratif Malaysia baharu?” soalnya.

Jelasnya, Malaysia mempunyai hampir 65 peratus orang Islam yang mana naratifnya menepati kontrak sosial yang telah pun berlalu.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ibrahin Tuan Man turut meminta DAP dan Pakatan Harapan supaya tidak mempamerkan dakyah ‘bogeyman’ dengan melabelkan penyatuan ummah sebagai klepto-teokrasi, talibanisme, rasisme dan ekstremisme.

Hal ini kerana DAP begitu rancak mempromosi ‘The Kingdom of God’ dan ‘The Jesus Manifesto’ seperti yang diungkapkan oleh Steven Sim Chee Keong yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam dalam forum Naratif Malaysia Baharu yang diadakan di Kota Damansara, 14 September lalu. – HARAKAHDAILY 18/9/2019