18
Fri, Oct
33 Artikel Baru

Mahkamah arah Husam mohon maaf

Peguam Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi dan Aimi Shazwani Yaakob.

Berita
Typography

KOTA BHARU: Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Dato’ Husam Musa gagal menangguh prosiding kes saman Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) terhadapnya.

Semalam tiga saksi KPK hadir dan bersedia untuk bicara namun Husam tidak hadir sebaliknya melalui peguamnya sekali lagi memohon penangguhan bicara atas alasan melantik peguam lain.

Peguam plantif Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi berkata, setelah mendengar hujahan peguam kedua-dua pihak terhadap permohonan penangguhan tersebut, mahkamah menyatakan kekecewaannya.

Katanya, mahkamah menyifatkan tindakan defendan tidak memberi komitmen yang sewajarnya, seolah-olah tidak serius.

“Mahkamah juga kecewa tindakan defendan gagal patuh arahan mahkamah sebelum ini membenarkan penangguhan bicara sebelum ini dengan kos sebanyak RM2,000.

“Tetapi sehingga hari ini kos tersebut juga masih gagal dibayar Husam selaku defendan dalam kes terbabit,” katanya di sini.

Kes terbabit didengari di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Hakim membenarkan permohonan KPK terhadap Husam dan mengarah defendan membayar ganti rugi am dan khas kepada KPK.

Tafsiran ganti rugi itu akan didengar di depan Pendaftar Mahkamah 29 Oktober ini.

Husam turut diperintah supaya membuat permohonan maaf melalui akhbar harian bahasa Melayu selama sehari tanpa syarat kepada KPK.

Plantif turut diwakili Aimi Shazwani Yaakob dari Tetuan Afifah, Wan dan Aimi Shazwani manakala Husam diwakili Tetuan Zayumi Murtadza.

Pada September 2017, Husam didakwa membuat kenyataan tidak benar yang berunsur fitnah di Facebook dan melalui ucapan ceramahnya terhadap KPK. – HARAKAHDAILY 2/10/2019