18
Fri, Oct
32 Artikel Baru

Assabiqun ikrar dukung taawun siyasi

Berita
Typography

KOTA BHARU: Ribuan kalangan Assabiqun melafazkan ikrar bagi mendukung taawun siyasi yang dipelopori PAS dan Umno demi menyatukan orang Melayu dan Islam.

Lafaz ikrar itu diketuai Pengerusi Assabiqun Tanah Merah, Mejar (B) Ramli Zakaria di hadapan Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Hadir sama Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Setiausaha Agung, Dato’ Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Assabiqun Pusat, Subky Latif.

Ramli juga berkata Assabiqun tetap akan terus istiqamah bersama perjuangan PAS bagi melahir Malaysia yang sejahtera.

Subky pula berkata, program Hari Assabiqun bermula di Kelantan tahun ini, dan akan diadakan di negeri-negeri lain pada tahun hadapan.

"Malah saya sudah berbincang dengan Setiausaha Agung PAS bagi membolehkan diadakan konvensyen menjelang muktamar berlangsung.

"Melalui konvensyen itu kita boleh mendengar pandangan jasawan yang sudah lama bergelumang dengan parti," katanya.

Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, golongan Assabiqun tetap terus istiqamah bersama PAS biarpun sudah lama berjuang.

Menurutnya, peranan Assabiqun  begitu besar bagi menggerakkan PAS pada peringkat awal dengan menempuh pelbagai halangan dan rintangan.

Sempena program itu wakil wakil Assabiqun termasuk dari Sabah dan Sarawak menerima plak disampaikan Timbalan Mursyidul Am.

Turut hadir Veteran Umno Kelantan dan Dewan Himpunan Pendukung PAS. Orang ramai yang hadir turut menikmati gulai kawah pada jamuan rakyat. – HARAKAHDAILY 5/10/2019

sss