18
Fri, Oct
34 Artikel Baru

Kongres Melayu: Apa yang tersirat

Berita
Typography

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) bersama-sama pimpinan tertinggi Parti IKATAN Bangsa Malaysia telah menghadiri Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Shah Alam, Selangor untuk menyatakan sokongan kepada perhimpunan orang Melayu dan mendengar resolusi-resolusi yang diutarakan oleh universiti-universiti tanah air demi menguatkan umat Melayu di Malaysia.

Perhimpunan ini bukan perhimpunan yang menyemarakkan sentimen perkauman “racism” kerana perhimpunan ini merupakan satu kongres untuk mencari jalan menguatkan kesatuan orang Melayu, bukan mencerca atau merendahkan kaum lain.
 
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berpuas hati dengan penganjuran kongres ini kerana dapat menyatupadukan seluruh umat Melayu tanpa mengira idealogi politik kepartian. Dari sudut ini, kongres ini menjadi medan kedua setelah kita menyaksikan penyatuan kerjasama politik antara Umno dan PAS dua minggu yang lepas. Namun begitu, terdapat pelbagai maksud tersirat di sebalik kongres ini.
 
Pertama, Tun Dr. Mahathir hadir atas kapasitinya sebagai tokoh orang Melayu, bukan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tun Dr. Mahathir ada menyatakan bahawa kerajaan hari ini tidak kuat kemelayuannya walaupun ditadbir oleh orang Melayu. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) melihat ini adalah kekecewaan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri yang seperti dihadkan kuasanya kerana Pakatan Harapan yang dianggotai oleh 4 parti politik sebenarnya didominasi oleh parti yang tidak berpaksikan kaum Melayu.
 
Kedua, Kongres ini memberikan satu cerminan bahawa orang Melayu akan kuat jika bersatu hati. Tun Dr. Mahathir dilihat berbesar hati bersama pimpinan Umno, PAS, Amanah, IKATAN dan sekelompok PKR untuk menunjukkan kesediaan bersama kesatuan parti-parti politik dominan Melayu. Namun begitu, ketidakhadiran YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang diura-urakan menggantikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia memberikan gambaran bahawa kesatuan ini boleh bergerak ke hadapan tanpa kelibat Anwar.
 
Ketiga, dari sudut ilmiah, Kongres ini menyatakan pelbagai resolusi terutamanya dari aspek pendidikan dan politik. Namun begitu Amanat Tun Dr. Mahathir dilihat lesu tanpa menyentuh resolusi-resolusi yang telah diangkat kepada beliau dengan tiada jaminan khusus kepada seluruh umat Melayu yang hadir ke Kongres. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa Tun Dr. Mahathir menggunakan kuasa beliau pada hari ini sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Malaysia paling berpengalaman untuk sekurang-kurangnya memperbetulkan keadaan hari ini berpandukan resolusi-resolusi tersebut. Banyak masa dan tenaga telah diperuntukkan untuk menjalankan kajian menyeluruh terhadap isu-isu orang Melayu di tanah air.
 
Keempat, anak-anak muda yang mewakili universiti-universiti ke kongres agak tersentak apabila Tun Dr. Mahathir menemplak orang Melayu supaya tidak memilih pekerjaan, terutama kerja kasar dan buruh. Pada masa yang sama, bantuan RM 500 turut dijadikan perbandingan seolah-olah Melayu malas. Memang benar kegusaran Tun Dr. Mahathir itu ada baiknya, namun perkara-perkara yang dibangkitkan tidak berkait antara satu dan yang lain. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) melihat gesaan agar orang Melayu tidak memilih kerja buruh tidak kena pada tempatnya kerana Kongres tersebut dipenuhi oleh anak muda yang bakal mendapat ijazah graduan univerisiti. Malaysia akan mundur jika graduan tidak diberikan ruang pekerjaan yang setaraf dengan pengajiannya. Kerajaan seharusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda, bukan menghentam anak muda untuk menjadi buruh kasar.
 
Kelima, parti-parti politik tanah air yang didominasi oleh orang Melayu seharusnya mengangkat resolusi-resolusi yang dibentangkan, bukan sekadar bermain retorik kehadiran ke Kongres untuk menunjukkan kebersamaan. Resolusi-resolusi yang dicadangkan cukup kuat untuk mengangkat kembali umat Melayu di tanah air, menjadi umat yang kuat dari sudut politik, ekonomi dan kesejahteraan bersama. Walaupun resolusi ini diangkat oleh pihak universiti, namun mereka tidak mempunyai kuasa politik untuk mengubah keadaan. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mengajak sahabat-sahabat parti politik Umno dan PAS untuk sama-sama menyokong dan melaksanakan resolusi-resolusi tersebut agar kita menjadi kumpulan utama mengukuhkan kesatuan Bangsa Melayu di Malaysia.
 
Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mengucapkan tahniah kepada pihak universiti dan penganjur Kongres Maruah Melayu kerana telah menyediakan satu platform untuk menyatupadukan umat Melayu di bawah satu bumbung. Semua pihak digesa untuk bergerak ke hadapan menyelamatkan keadaan hari ini setelah Melayu hilang kuasa pada PRU14. Seperti kata Tun Dr. Mahathir sendiri, kerajaan hari ini kurang melayunya, walaupun dipimpin oleh orang Melayu. Mungkin inilah perbezaan antara Perdana Menteri ke-4 dan Perdana Menteri ke-7 walaupun Perdana Menteri itu adalah orang yang sama.
 
Selamatkan Malaysiaku!

SHAHIR ADNAN
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Pemuda Gagasan Sejahtera
07 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 7/10/2019