18
Fri, Oct
34 Artikel Baru

KMM: Mencari 'jernih' dalam ucapan Tun M

Berita
Typography

SATU ucapan, ratusan reaksi balas. Ada yang marah, yang kecewa, sedih dan mengecamnya kembali. Tidak kurang juga yang berlapang dada, bersetuju, angguk, menerima serta redha. Itu hebat dan kontroversinya seseorang pimpinan apabila dia berucap.

Tulisan ini tidak berniat mencari salah atau cuba melihat ucapan Tun M melalui kacamata pesimis. Tidak juga mahu menambah rencah kepada kritikan ramai sahabat, orang perseorangan malahan badan NGO yang telah menyatakan rasa kecewa dan skeptikal dengan kata-kata Tun. Dikatakan ia telah menghina orang Melayu, tidak mencapai matlamat kongres dan sebagainya. Tidak mengapalah, masing-masing ada hak bagi menyatakan sikap.

Sesuai dengan saranan oleh YB Tuan Guru Presiden, yang menyebut mengenai muhasabah. Antaranya Tuan Guru menukilkan, “Muhasabah diri wajib dilakukan, walaupun adanya kritikan yang keras dan pahit, kerana mungkin tidak dirasai atau tidak disedari ada lagi penyakit dalam diri bangsa Melayu yang wajib dilakukan rawatan segera, apatah lagi penyakit leka yang tidak menyedarkan. Jadilah manusia yang berakal sihat dengan keinsafan. Biarlah orang yang berpenyakit gila sahaja marah kalau dikatakan dia sakit”.

Kata-kata Tuan Guru cukup tajam dan menembus ke dalam hati yang paling dalam bagi jiwa yang mahu berfikir. Ucapan Tun semalam memang sarat dengan kritikan kepada bangsanya sendiri. Tapi untuk apa? Dan untungnya apa bagi seorang pemimpin pada usia 94 tahun cuba melontarkan pandangan untuk koreksi bangsanya sendiri?

Mencari “positif” dalam kata-kata Tun M yang menyebut tiba saatnya, soal orang Melayu dan maruah Melayu diambil serius meskipun ada yang melarang Tun M daripada hadir ke kongres.

Tun memulakan ucapan dengan menekankan soal usaha kita untuk merubah nasib selaras dengan tuntutan agama. Mukaddimah ucapan Tun M ini juga selari dengan pandangan Tuan Guru Presiden yang menekankan bahawa Allah S.W.T memberi amaran dengan firman-Nya:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya”.

(Ar-Ra’d: 11)

Tun mengakui bahawa orang Melayu telah membuat kesilapan dan kesalahan. Terpecah-pecah bangsa ini sehingga menjadi enam kumpulan kecil. Maka akhirnya terpaksa bergantung kepada orang lain dan terhutang budi. Demi kedudukan dan ‘tempat’ tertentu, akhirnya bangsa digadaikan dan kita kini dipandang rendah.

Di Malaysia saat ini, bangsa Melayu hanya 60 peratus yang seakan-akan tiada makna. Apatah lagi apabila berpecah kepada bahagian-bahagian yang kecil. Dan akhirnya hanya menguasai 20-30 peratus sokongan rakyat. Kita diperhamba setelah bangsa lain maju dan berjaya dalam negara.

Lebih lima atau enam kali Tun mengulangi soal “kerja berat, kotor dan bahaya” yang dibuat oleh pekerja asing dan tidak sanggup dibuat oleh anak watan sendiri. Katanya lagi, kita tidak ada kemahuan, “willingness”. Akhirnya bangsa asing maju dan berjaya ubah nasib diri mereka serta keluarga. Yang peliknya lagi adalah, kini semua kerja yang selesa, dalam bangunan, premis berhawa dingin, tetapi tetap diberi kepada orang asing. Kita boleh lihat di mana sahaja perkara ini berlaku, di stesen minyak, pasaraya, kedai runcit, lapangan terbang dan banyak lagi.

Kritikan Tun memang pedas. Bagi orang Kelantan kita sebut sebagai “sikir” didengari. Ya siapa yang suka mendengar ucapan 50 minit panjang yang banyak isinya adalah leteran dan kritikan kepada bangsa, diri kita sendiri? Mahathir turut akui bahawa apa yang disebutnya mungkin tidak akan digemari, tidak akan disukai. Tetapi baginya itulah dia kebenaran. Selagi Melayu tidak tukar cara hidup mereka, dan bersedia menghadapi cabaran dalam hidup serta dalam bekerja, maka selamanya maruah Melayu tidak meningkat.

Orang Melayu selalu berasa lega kerana ingat kerajaan akan bantu mereka. Namun Tun menyebut, walaupun kerajaan kini dipimpin orang Melayu, tetapi tidak cukup kuat “kemelayuannya”. Sebab apa tidak kuat? Kerana perlu diambil kira perasaan orang lain. “Kalau tak ambil kira, datang pilihan raya, kita akan kalah”.

Sejak 70 tahun dahulu, British bawa masuk pekerja asing dengan ramai. Raja-raja Melayu beranggapan bahawa mereka akan pulang selepas selesai bekerja, namun ia meleset . Mereka selesa duduk di negara ini dan orang Melayu terpaksa terima mereka demi mencapai kemerdekaan.

Di sebalik semua kritikannya, Tun mengatakan orang Melayu tidak kurang hebatnya. Kita boleh buat apa sahaja. Namun ada perbezaan antara “boleh buat” dan “hendak buat”. Beliau bawakan contoh negara Jepun yang mampu bangkit semula selepas Perang Dunia Ke-2 dan kini menjadi negara maju. Kisah pekerja di Jepun yang sanggup terima upah kerja harian dengan sebungkus nasi dan sos soya sahaja cukup memberi inspirasi.

Kerajaan telah wujudkan peluang, kontrak dan AP, namun semuanya dijual. Bolehkah kaya dengan menjual lesen sedemikian? Orang Melayu harus berusaha keras agar berjaya dan dapat kumpul kekayaan, seterusnya dapat mengimbangi kaum-kaum lain dalam negara ini ujar Tun lagi.

Antara soalan yang dilempar olehnya kepada hadirin adalah, “Mana dia Kg Kerinchi, mana dia Kg Penchala, mana dia Kg Abdullah Hukum?”. Ini semua terjadi apabila yang kaya mampu membeli aset dan harta yang miskin. Dan apabila tawaran harga yang tinggi dibuat, sudah pasti semuanya akan dijual.

Tun mengaku kerajaan tidak boleh pulihkan maruah Melayu. Tetapi hanya orang Melayu sendiri mampu lakukannya dengan menggunakan kerajaan yang ada pada hari ini bagi memulihkan semula maruah bangsa. Pencapaian kita akan meningkatkan maruah kita.

Pada penghujung ucapan, Tun M mengaku ucapannya agak bosan, dan boleh sahaja beliau bercakap mengenai Hang Tuah, Hang Jebat, Kesultanan Melayu yang menang perang sana sini, tetapi semuanya hanya catatan sejarah.

“Saya sedar, saya tidak ada masa, apa yang dilakukan hari ini, untuk generasi akan datang” kata Tun akhirnya. Begitulah “jernih” dan aspek positif yang boleh digali-kutip oleh rakyat dalam ucapan kongres-nya semalam. Walaupun diragui oleh banyak pihak akan maksud nasihat Tun ini, dan tidak kurang juga ramai yang meminta beliau menilik cermin, bermuhasabah dan melihat kembali bahawa “kegagalan” dan “kemunduran” bangsa ini banyak kaitannya dengan air tangan beliau sendiri setelah puluhan tahun menjadi orang nombor satu dalam negara, namun itu semua telah menjadi catatan sejarah dan rekod jatuh bangun bangsa Melayu.

Semoga ucapannya semalam ikhlas dan dilatari rasa insaf. Serta yang paling utama sekali adalah segala perubahan yang beliau maksudkan, perlulah bermula daripada dirinya sendiri terlebih dahulu, sebagai Perdana Menteri yang sewajibnya menjaga segala bentuk maruah orang Melayu, pada saat dan ketika ini. Maka selanjutnya, para pemimpin Melayu di segenap peringkat lapisan pula, dalam semua parti politik dan badan non partisan, perlu memulakan segala proses untuk memulihkan semula kuasa dan maruah Melayu yang sahih akan mulia jika bertulang belakangkan agama Islam!

~Anak Melayu~

NAZMAN CHE IBERAHIM
Presiden Pertubuhan Pertahan Kelantan - HARAKAHDAILY 7/10/2019