18
Fri, Oct
32 Artikel Baru

Tunggu keberanian PH rempuh ‘abang besar’

Berita
Typography

KOTA BHARU: Tidak mustahil sebuah kerajaan didominasi orang Melayu boleh dibentuk di negara ini sekiranya parti Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) berani ‘rempuh abang besar’.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Mohd Hushaimi Hussian berkata, perlu ada keberanian Bersatu, PAN dan sebahagian pemimpin PKR menyertai Muafakat Nasional.

Katanya, kegagalan menguasai politik negara menyebabkan orang Melayu hilang kekuatan di tanah air sendiri.

“Betul seperti kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pepecahan dalam kalangan orang Melayu sehingga wujud parti serpihan menyebabkan orang Melayu lemah.

“Sudah sampai masanya parti-parti politik Melayu bersatu di bawah satu bumbung dengan meletakkan Islam sebagai asasnya,” katanya di sini.

Pada Ahad lalu, ketika berucap pada Kongres Maruah Malayu, Dr Mahathir berkata, hanya Melayu boleh memulihkan maruah mereka sendiri yang sering dipandang hina di negara sendiri. - HARAKAHDAILY 8/10/2019