22
Tue, Oct
27 Artikel Baru

Belanjawan: Disuap kenyataan guris hati rakyat

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merupakan belanjawan yang tidak mesra rakyat.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pihaknya tidak terkejut dengan pembentangan Belanjawan 2020 apabila rakyat telah disuap dengan kenyataan yang mengguris hati rakyat.

“Seperti permintaan menurunkan cukai dan menaikkan subsidi tidak mungkin dapat dilaksanakan.

“Beberapa hari lepas turut diumumkan mekanisma Program Subsidi Petrol bersasar yang jelas tersasar dan tidak ikhlas dengan pemberian maksimum RM 1 sehari untuk kereta dan 40 sen sehari untuk motosikal kepada golongan B40,” katanya dalam kenyataan media.
 
Menurutnya, Belanjawan 2020 membuat penurunan sebanyak RM17.5 bilion iaitu RM297.020 bilion berbanding Belanjawan 2019 merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah tanah air dengan peruntukan sebanyak RM314.5 bilion dengan perbelanjaan mengurus sebanyak RM259.8 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM54.7 bilion.

Malangnya kata beliau, perbelanjaan mengurus untuk belanjawan tahun hadapan masih kekal besar sebanyak RM241 bilion dan perbelanjawan pembangunan diumumkan hanya RM56 bilion.

“Jelas menunjukkan Kerajaan Pakatan Harapan masih gagal memenuhi aspirasi rakyat dan anak muda untuk melihat lebih peruntukan pembangunan demi masa depan Malaysia,” ujarnya.
 
Shahir berkata, pihaknya melihat cabaran besar bakal ditempuhi oleh anak muda apabila kesejahteraan ekonomi golongan anak muda tidak dipeduli.

Bagaimanapun, Cukai Digital yang diperkenalkan mulai 1 Januari 2020 bakal merencatkan perkembangan industri digital di Malaysia, termasuk usahawan anak muda yang sememangnya cenderung ke arah industri digital.

Berikutan daripada itu, industri korporat dan industri permainan digital akan mengenakan harga yang lebih mahal, ditambah pula lemahnya matawang ringgit menyebabkan ramai anak muda makin tertekan.

Sehubungan itu, pihaknya bersimpati apabila golongan M40 yang terus dipinggirkan apabila Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) masih dikenakan kepada warganegara Malaysia sebanyak 5 peratus.

“Anak muda golongan M40 tentunya tersepit untuk menjual aset perumahan untuk menjana pendapatan sampingan mereka,” jelasnya.

Selain itu, katanya hartanah bernilai RM600,000 sudah mula boleh dijual kepada warga asing, sedangkan katanya dahulu orang luar hanya boleh membeli hartanah bernilai RM1 juta sahaja.

“Dasar ini tidak membantu anak muda dan rakyat Malaysia membeli rumah,” katanya lagi.
 
Beliau meluahkan kebimbangan sekiranya penarafan kredit negara terus diturunkan apabila hutang negara makin bertambah dan pendapatan negara terus berkurang.

Malahan katanya, belanjawan tersebut bakal menjadi malapetaka besar kepada ekonomi negara dengan aset-aset negara akan terus dijual untuk mendapatkan kecairan dana yang cepat tanpa memikirkan masa depan ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 12/10/2019