Anak muda dibantu miliki perniagaan ‘food truck’

Berita
Typography

KERAJAAN Kelantan turut membantu golongan belia yang berminat dalam perniagaan terutamanya ‘food truck’ yang menjadi fenomena baru hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, perniagaan baharu itu terbukti mendapat sambutan ramai sekarang.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha bagi melahirkan lebih ramai anak muda yang berjaya sebagai usahawan.

“Kerajaan negeri melalui Kelantan Utilities Mubarakan (KUM) Holdings Sdn Bhd turut membantu anak muda yang berminat dalam perniagaan tersebut,” katanya ketika merasmikan pelancaran kempen pemilikan Food Truck di Kota Bharu hari ini.

Program berkenaan diadakan di laman Pasar Besar Siti Khadijah. Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Datuk Mohd Zamri Ismail, Timbalan Pengarah Mara Kelantan, Kamaruzzaman Mohamad dan Pengurus Besar KUM, Mahadi Mokhtar.

Kempen pemilikan kenderaan itu mendapat kerjasama Go Automobile Manufactoring Sdn Bhd, Mara dan MPKB BRI.

Abdul Fattah berkata, gabungan beberapa pihak tersebut bertujuan untuk membantu rakyat Kelantan dalam perniagaan. – HARAKAHDAILY 9/5/2017