Sidebar

23
Sat, Sep
28 Artikel Baru

Kesungguhan ahli PAS Tok Rimau perlu dicontohi

Berita
Typography

KESUNGGUHAN ahli-ahli PAS Cawangan Tok Rimau, Bukit Payong bagi menjana ekonomi perlu dicontohi.

Ketuanya, Mansor Mamat berkata, ia adalah salah satu cara untuk menunjukkan kesungguhan ahli-ahli membantu parti bagi tujuan dakwah dan juga politik.

“Kita sebagai ahli, seboleh-bolehnya perlu membantu parti terutama dalam ekonomi, kerana kita perlu faham yang PAS ini bukan parti yang kaya.

“Ahli-ahli adalah tenaga kerja bagi parti, jadi dengan membantu parti, ia akan memberikan lebih kekuatan kepada parti, apatah lagi dengan waktu yang hampir dengan PRU sebegini.

“Dan alhamdulillah Tok Rimau sangat bertuah kerana memiliki ahli-ahli yang sangat komited dengan gerak kerja membantu parti,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau ditemui ketika bergotong royong menuai buah tembikai bagi dihantar ke pusat-pusat jualan dan pemborong.

PAS Cawangan Tok Rimau, di dalam Dun Bukit Payong baru-baru ini telah berjaya menuai hasil buah tembikai yang mereka usahakan beberapa bulan lalu di Bukit Kor, Marang.

Hampir RM20,000 hasil jualan berjaya dikutip daripada usaha itu yang telah dilakukan oleh kira-kira 20 orang ahli PAS Cawangan Tok Rimau yang menelan belanja kira-kira RM9,000.

Malah ini bukanlah kali pertama usaha dilakukan oleh Cawangan Tok Rimau itu, kerana pada tahun lepas, mereka juga telah berjaya menjual ubi kayu, yang hasil keuntungannya hampir sama dengan hasil tembikai.

Hadir sama menuai hasil buah tembikai itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang turut memuji usaha dan kerja keras PAS Cawangan Tok Rimau itu.