Pertukaran pemimpin biasa dalam Islam, PAS

Berita
Typography

PERTUKARAN pemimpin adalah perkara biasa dalam Islam dan PAS, terutama bagi jawatan pesuruhjaya yang menjadi teraju utama pergerakan siasah, dakwah dan tarbiah negeri Terengganu.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ustaz Husain Awang berkata, pernah pada suatu masa jawatan tersebut digilirkan antara Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mantan Ketua Dewan Ulamak, Almarhum Datuk Ustaz Harun Taib dan Datuk Mustafa Ali.

Oleh itu katanya, beliau bukanlah ‘yang terbaik’ kalangan ahli dan pemimpin PAS, namun telah diamanahkan oleh jamaah untuk menjawat jawatan tersebut pada sesi 2017-2019, lapor Buletin Online.

“Saya telah diangkat menjadi pemimpin bukanlah kerana aku yang terbaik di antara kalian semuanya, untuk itu jika aku berbuat baik bantulah aku, dan jika aku berbuat salah luruskanlah aku. Sifat jujur itu adalah amanah, sedangkan kebohongan itu adalah pengkhianatan,” kata beliau menyebut kata-kata pidato Saidina Abu Bakar As-Siddik, sehingga habis.

Ustaz Husain berkata demikian pada pertemuan kali pertama dengan kakitangan Pejabat Perhubungan PAS Terengganu, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, kelmarin.

Justeru itu, beliau berharap kepada semua tenaga kerja agar kecemerlangan tugasan yang dilaksanakan sebelum ini diteruskan pada masa beliau sebagai pesuruhjaya dan masa hadapan.

Bahkan, beliau menggesa agar dilipatgandakan setiap kerja yang dilakukan memandangkan saat pilihan raya umum kali ke-14 sudah terlalu hampir.

“Minta kerjasama sebagaimana khidmat yang  telah diberikan, bahkan saya minta lebih daripada itu lagi kerana kita sedang berhadapan dengan pilihan raya yang merupakan satu detik kemuncak perjuangan kita,” ujarnya.