21
Fri, Jul
31 Artikel Baru

Tahaaluf terbatal, PAS masih harapan rakyat

Berita
Typography

KEPUTUSAN Majlis Syura Ulamak yang membuat keputusan hubungan tahaaluf siyaasi dengan PKR terbatal tidak menjejaskan PAS.

Malah, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa hasil kajian dibuat banyak pihak, PAS masih berada di kedudukan pertama parti yang diharapkan dapat menyelamatkan Malaysia.

“Ada pihak mengatakan PAS akan menghadapi zaman gelap, zaman merosot dan zaman kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14, nanti. Tapi hasil dari kajian-kajian dibuat oleh banyak pihak yang mengkaji PAS masih berada di ranking yang pertama parti yang diharapkan dapat menyelamatkan Malaysia ini.

“Walaupun pihak-pihak lain meletakkan label yang macam-macam kepada PAS. Ini bagi kita, semata-mata kerana mereka itu iri hati, ‘jealous’ (cemburu) kepada pencapaian dan penerimaan PAS,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Infaq Ramadan PAS Kawasan Kemaman, di Cherating semalam.

Menurutnya, PAS menjadi harapan rakyat bagi menyelamatkan negara ini daripada pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ada parti serpihan Umno sebelum ini turut berminat dengan PAS tetapi ‘digantung’ kerjasama itu kerana tidak memenuhi syarat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mendakwa ada pihak yang cemburui PAS dengan menabur fitnah kononnya parti itu bersatu dengan Umno.

“Alhamdulillah, parti kita menjadi parti yang di ranking utama. Maka, di sinilah timbul pula fitnah mengatakan PAS bersatu dengan Umno sedangkan kita sejak berzaman berlawan dengan Umno. Kita berjuang untuk berlawan dengan Umno.

"Kita tidak pernah menyertai program Umno tapi kita pernah menyertai program-program kerajaan Malaysia.

“Inilah antara pendekatan-pendekatan baharu yang kita ambil dalam rangka kita menjayakan kerja-kerja tarbiyyah, kerja-kerja dakwah dan kerja-kerja siasah yang kita laksanakan melalui jamaah ini.

“Pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) dan bukan kita ubah dasar. Kita ubah pendekatan dalam rangka menjayakan perkara yang kita hendak laksanakan sebagaimana dalam perlembagaan kita,” jelasnya di hadapan lebih 800 hadirin.

Hadir sama pada majlis tersebut Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Alias Abd Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Hanafiah Mat, Naib YDP PAS Kemaman, Ustaz Nik Nasri Nik Malik dan ketua penerangan, Ustaz Azri Jusoh. - HARAKAHDAILY 12/5/2017