24
Sat, Jun
13 Artikel Baru

Sidang dewan tidak dilanjut tempoh maksimum

Berita
Typography

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar persidangan Dewan Negeri tidak dilanjutkan pada tempoh maksimum melebihi jam 12.00 tengah malam. 

Baginda bertitah, persidangan terlalu lama mengundang kepada faktor ‘keletihan’ Ahli Dewan Negeri (ADN) bagi membahaskan sesuatu usul, lapor SelangorKini.
 
“Tempoh masa yang cukup bagi memastikan suara rakyat didengari melalui setiap kerusi dan Ahli Dewan Negeri yang dipilih.

“Namun, Beta ingin menyarankan agar setiap Dewan dapat mengurangkan mesyuarat Dewan melangkaui selepas jam 12 tengah malam.

“Beta yakin bahawa kecergasan minda semua termasuklah urus setia Dewan dan para pelapor tidak berada di paras yang optimum pada waktu itu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia, 2017 di Shah Alam. (Foto SelangorKini)

Dilaporkan, persidangan paling lewat dijalankan di peringkat Parlimen Malaysia berakhir jam 5.05 pagi mengatasi rekod sebelumnya pada 3.12 pagi dan 4.25 pagi.

Sultan Sharafuddin turut bertitah agar ADN berbahas secara bertangungjawab melangkaui emosi masing-masing.

Titah baginda, wakil kerajaan dan pembangkang perlu mematuhi segala peruntukan Peraturan Tetap Dewan tanpa berlakunya sebarang pergaduhan di dalam atau luar dewan negeri.

“Beta tidak mahu berlakunya kejadian Ahli-Ahli yang berhormat bercakaran di dalam Dewan dengan melemparkan bahasa kesat dan menyakitkan hati tanpa mengawal emosi mereka.

“Adab dan tatasusila di dalam berbahas ini amat penting bagi menggambarkan bahawa negara kita mempunyai pemimpin negara yang matang dan berperibadi tinggi,” titah baginda.