18
Fri, Aug
26 Artikel Baru

Mahu SPRM diberi kuasa mendakwa

Berita
Typography

GAGASAN Sejahtera menyeru rakyat negara ini agar meletakkan isu rasuah sebagai musuh utama negara yang harus diperangi habis-habisan seperti mana rakyat memerangi isu dadah sepanjang masa.

Pengerusinya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai usaha memerangi gejala rasuah yang semakin membimbangkan pada hari ini pihaknya akan menyerahkan memorandum dalam waktu terdekat ini bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membasmi gejala memalukan itu.

"Kita ada sediakan satu memorandum 'Kebangkitan Rakyat Memerangi Rasuah', dokumen ini bukan sahaja mendokong usaha SPRM tetapi mengemukakan pandangan Gagasan Sejahtera bagi memperkasakan usaha mereka," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Katanya, usaha ini melibatkan beberapa segmen besar dalam masyarakat spritiual, penguatkuasaan dan kesedaran rakyat.

Tambahnya, antara faktor besar yang boleh membantu mencegah rasuah ini adalah dengan mengambil pendekatan dosa pahala serta balasan di akhirat akibat melakukan perbuatan rasuah.

Selain itu, katanya, Gagasan Sejahtera turut mengemukakan cadangan terhadap kuasa terhad SPRM  dalam melaksanakan tugasnya.

"SPRM sudah menunjukkan usaha cemerlang mereka mutakhir ini kerana beberapa tokoh besar di bawa ke muka pengadilan. Kita hargai usaha SPRM ini, tetapi kuasa mereka terhad iaitu tidak ada kuasa pendakwaan. Kita ada cadangan berhubung perkara ini," katanya.

Tuan Ibrahim turut mengakui kesedaran rakyat perlu digerakkan bersama supaya rakyat membantu penguatkuasa SPRM bagi mencegah gejala rasuah ini.

Dokumen ini di pengerusikan sendiri oleh Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil dan turut bersama di dalam sidang media itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan beberapa barisan kepimpinan PAS serta barisan Pimpinan Tertinggi Ikatan. – HARAKAHDAILY 15/5/2017