Sidebar

23
Sat, Sep
28 Artikel Baru

MPKB BRI kumpul dana jaya Madinah Ramadan

Berita
Typography

HANYA kira-kira 10 hari lagi umat Islam akan menyambut Ramadan al Mubarak. Kehadiran Ramadan menyaksikan fenomena berbeza di Kelantan.

Khemah gergasi di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV akan menjadi tumpuan orang ramai pada setiap malam bermula 1 Ramadan.

Lokasi itu dikenali sebagai Madinah Ramadan yang diadakan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan sehingga 1 Syawal 1438.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Nik Mohamed Nik Ishak berkata bagi menjayakan program tersebut pihaknya akan melancarkan 'Tabung Ihya Ramadan 1438'  di Medan Ilmu Jumaat ini.

Katanya tabung berkenaan akan digunakan bagi menampung perbelanjaan termasuk saguhati Imam Tarawih dari Mesir, iftar, sewa khemah gergasi, bil air dan elektrik.

“Pelancaran tersebut bagi mengumpul dana untuk menampung perbelanjaan sempena Ihya Ramadan di Madinah Ramadan di Dataran Stadium.

“Tahun ini Syeikh Yasser Ahmad al-Syakrawi dilantik sebagai imam solat Tarawih di Madinah Ramadan,” katanya di Kota Bharu hari ini.

Pelancaran tabung itu pada jam 9 pagi akan disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Sebelum ini ada pihak menganggap MPKB BRI mengeluarkan belanja besar bagi menjayakan program Madinah Ramadan, sedangkan ia dibiayai bersama badan-badan korporat, syarikat dan orang ramai.

Sementara itu orang ramai atau badan-badan korporat yang ingin menghulur sumbangan boleh disalurkan melalui Bank Muamalat atas nama Tabung Ramadhan 0301-000-5757-713.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Ustaz Wan Sharafi Wan Mustaffa di talian 019-9849033. – HARAKAHDAILY 15/5/2017