18
Fri, Aug
26 Artikel Baru

Pendidik Islam berhimpun di Kota Bharu Sabtu ini

Berita
Typography

SEBAGAI menghargai jasa pendidik kerajaan Kelantan akan menganjurkan Himpunan Pendidik Islam Malaysia 5.0 peringkat kebangsaan pada 20 Mei ini.

Program anjuran bersama NGO Pendidik dijangka dihadiri 1,200 pendidik dari seluruh negara. Ia akan diadakan di Balai Islam, Lundang bermula jam 8 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata program itu dianjurkan sebagai mengenang jasa pendidik dan menegaskan kembali konsep pendidikan Islam.

Katanya, mana-mana warga pendidik yang berminat dijemput bersama menjayakan himpunan tersebut.

"Beberapa anugerah kepada pendidik di pelbagai peringkat dan kategori diadakan. Ucap utama kalam murabbi akan disampaikan  Rektor Kolej Islam Antarabangsa Selangor, Prof Datuk Dr Abdul Halim Tamuri,” katanya di Kota Bharu.

Perasmiannya akan disempurnakan Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob. Selain itu turut diadakan persembahan kesenian Islam dan pameran serta jualan.     

Dr Fadzli juga berharap himpunan terbabit akan menyemarakkan lagi semangat pendidik bagi membangun ilmu dan syahsiah ummah.

“Tidak lupa juga saya rakamkan ucapan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik khususnya tenaga pengajar di Yayasan Islam Kelantan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/5/2017