DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengambil perhatian terhadap kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa jamaah haji perlu diingatkan tentang konsep istito’ah (kemampuan) sebagai syarat untuk mengerjakan haji. Kenyataan itu dibuat ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Dungun yang bertanya berhubung kedudukan subsidi yang diberikan oleh Tabung Haji untuk jemaah haji.

Dengan tidak menafikan bahawa kemampuan merupakan syarat untuk mengerjakan haji, DPPM ingin mempersoalkan adakah ia merupakan satu isyarat bahawa subsidi kepada bakal haji yang pertama kali menunaikan haji akan dikurangkan? Perlu diingatkan bahawa praktis memberikan subsidi telah diamalkan dengan baik oleh pihak kerajaan sejak tahun 2001. Mengapa Pakatan Harapan yang memerintah tidak sampai setahun sudah mula berbicara dengan bahasa menjurus kepada pengurangan subsidi haji?

Tujuan penubuhan Lembaga Tabung Haji adalah untuk membantu umat Islam dan mengurus dana pendeposit untuk menunaikan haji. Konsep istito'ah (kemampuan) tidak boleh menjustifikasikan tindakan kerajaan untuk mengurangkan subsidi, sebaliknya kerajaan mesti bersikap sebagai 'enabler' atau pemudah cara kepada rakyat untuk menunaikan haji. Jangan menambah beban kepada rakyat untuk melaksanakan ibadah ini.

Menurut LTH, pemberian subsidi haji adalah sumbangan terbesar dan terpenting di bawah peruntukan Tanggung Jawab Sosial Korporat (CSR) Bukan Zakat. Ia juga disifatkan sebagai perkongsian kejayaan bersama antara LTH dengan sokongan para pendeposit. Kerajaan mesti ingat, umat Islam sentiasa memberikan sokongan kepada LTH.

Pada tahun 2018, peningkatan hampir RM1 bilion jumlah deposit umat Islam iaitu daripada RM73.6 bilion kepada RM74.5 bilion. Sementara itu, sebanyak 31,580 akaun baru yang telah dibuka dalam tempoh yang sama. Hal ini menunjukkan sokongan umat Islam kepada LTH tetap utuh. Sebagai imbalan kepada sokongan ini, pihak kerajaan tidak wajar mengurangkan subsidi kepada semua bakal haji yang pertama kali menunaikan haji.

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 23/3/2019

TIDAKLAH saya mewakili pandangan rasmi PAS dan tidaklah PAS patut campur urusan dalaman Umno dan BN.

Tetapi mengapa tidak ambil Khairy Jamaluddin (KJ), MP Rembau untuk jadi Setiausaha Agung Barisan Nasional, bukan mengamanahnya semula kepada Tengku Adnan setelah BN tidak dapat terima Datuk Nazri Aziz. Wibawa KJ belum disoal tetapi Ku Nan berdepan dengan kes yang payah hendak ditepis khususnya di kalangan PAS yang dalam proses hendak berdua dengan Umno sekarang.

Dengan tohmah yang Ku Nan hadapi kini payah PAS hendak menghadapi sakat Mahfuz Omar yang kerjanya sekarang mencari apa saja untuk memperli PAS. Tidaklah banyak sangat pengaruh sakatnya, tetapi seeloknya biar PAS tidak diganggu oleh masalah yang ada pada Umno.

Umno sendiri sudah banyak karenah politik yang ditinggalkan Najib dan kemudian memberi cuti kepada Datuk Zahid Hamidi yang berdepan kes-kes yang memayahkan Umno untuk menjawabnya.

Sekalipun badi politik Najib tidak tabu seperti mula BN tumbang dulu, seolah-olah marah semua kepadanya seperti tidak pernah berlaku. Najib membantu kemenangan BN di Cameron Highlands dan Semenyih. Mahathir seolah dipudarkan oleh penampilan Najib sekarang.

Apapun pandangan baru orang terhadap Najib, Zahid dan Ku Nan, sumbangan kepada politik berdua PAS/Umno lebih berkesan dibuat dari luar seperti sekarang daripada membawa mereka tampuk pemerintahan semula.

Mahathir sudah melangit penampilan politiknya dari luar pemerintahan. Bila kembali berkuasa semula, saham peribadinya jatuh.

Maka seeloknya Najib, Zahid dan lain-lain tolong taawun PAS-Umno dan pemulihan Umno oleh pemangku Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan. Taawun tidak perlu buang masa dan tenaga menangkis tempelak Anwar dan Guan Eng.

Jika Tun Musa Hitam boleh tolong, seru semua sokong PAS-Umno, tak payah aktif semua dalam politik.

Apa yang Umno patut buat ambil KJ jadi SU BN. Wibawanya ada, sekarang pun dia tidak diberi kerja besar. Tentu PAS lebih senang dengan suasana baru dalam taawun. Bukan harapan kosong politik taawun untuk gantikan PH di Putrajaya dalam PRU15 nanti.

Mungkin ada renggangnya Najib dan KJ selepas Mei 2018. Dan Najib pun sudah rapat kembali dengan Umno dan rakyat. Maka mungkin payah KJ yang masuk dalam keadaan baru itu. Jika PAS dan Umno dapat menyelesaikan sengketa tradisionalnya, tentu sedikit geseran Najib dan KJ tidak jadi apa-apa masalah.

Baik Nazri Aziz, Ku Nan tiada apa takwil bagi PAS meneruskan misi politik yang besar itu, tetapi dengan KJ yang jadi perhatian merata itu main peranan besar dalam taawun yang selepasnya diyakini MCA dan MIC, maka politik taawun itu jauh lebih gagah dari slogan Reformasi yang tidak diketahui fekahnya.

Musa Hitam memberitahu saya. Dia solat tarawih di kediaman Perdana Menteri yang imamnya PM Abdullah Badawi sendiri. KJ jadi bilal. Dengan fasih dan lancar selawatnya antara tarawih itu seolah dia bilal besar yang berpengalaman.

Kata Tun Musa kepada bonda KJ, hebat anak awak jadi bilal tarawih. Jawab bondanya, kata Tun Musa, hendak jadi menantu PM hendak boleh buat semua.

Jika Musa Hitam ada pandangan tinggi kepadanya, tiada banyak masalah bagi PAS untuk menjaya program membangun masa depan ummah bagi dunia wawasan dan gagasasn sejahtera.

Maka tiada siapa boleh perli taawun yang berpandukan kepada ajaran Islam untuk semua. – HARAKAHDAILY 23/3/2019

FIRMAN Allah swt dalam surah Al Baqarah ayat 42,

(وَلَا تَلۡبِسُوا۟ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتَكۡتُمُوا۟ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ)

Maksudnya, "Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya..."

NajhanSejak pemerintahan negara diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH), hala tuju dan kedudukan Islam dalam negara tidak mendapat tempat yang sewajarnya dan ia terus hilang arah.

Agama Islam walaupun sudah termaktub dalam perlembagaan sebagai agama persekutuan namun ia masih belum mampu diterjemahkan oleh pemerintah PH dengar tafsiran dan pelaksanaan yang sebaik mungkin. Walaupun pernah ada suara daripada salah satu parti komponen PH yang menyatakan bahawa apabila menang PRU14 kita akan laksana Islam, tapi ia kini umpama bermimpi di siang hari".

Slogan Malaysia Baharu tidak mencerminkan gambar sebenar pada penghayatan dan pelaksanaannya. Ia tidak lebih daripada sekadar retorik kononnya membezakan zaman pemerintahan BN sebelumnya dan sekarang. Tambahan lagi, kedudukan dan penghayatan Islam sebenar secara syumul dan perlaksanaan yang menepati maksud ad-deen amat jauh ketinggalan sekalipun dibandingkan era zaman Barisan Nasional.

Jika diteliti apakah punca sebenar dalam usaha mendaulatkan agama Islam sebagai agama persekutuan masih belum tercapai malah jauh daripada sasaran pada zaman pemerintahan PH ini?

Ia dikenalpasti terdapat 8 sebab sebagai faktor utama.

Pertama: Kesalahan maksud Maqasid Syariah yang dicanangkan oleh PH sebagai panduan usaha-usaha memartabatkan Islam dengan mengenepikan nas atau dalil yang jelas samada daripada Al-Quran, Sunnah dan kesepakatan ulama.

Maqasid Syariah sebenarnya bukanlah dalil akan tetapi adalah sekadar panduan untuk menjayakan tujuan dan maksud Syariah itu sendiri. Tetapi ia dijadikan dalil hujah sehingga mengenepikan dalil sebenar yang bersifat perintah dan larangan atau hukum hakam. Sebagai contoh, terdapat kesalahan memahami maqasid dengan mengenepikan hukuman sebatan di khalayak kerana maqasid melarang menjatuhkan maruah. Hujah menjatuhkan maruah sehingga dianggap hukuman sebatan tidak relevan.

Kedua: Kekeliruan dalam penghayatan Maqasid Syariah dan Rahmatan lil Alamin.

Kekeliruan ia berpunca daripada penolakan syariah tetapi pada masa yang sama inginkan maqasid. Orang beriman wajib menyakini bahawa hanya menerusi syariah Islam akan tercapai Maqasid Islam yang diimpikan. Begitu juga Rahmatan Lil Alamin difahami dengan 1 maksud sahaja iaitu berlemah lembut tanpa penghayatan maksud yang sempurna yang diperjelaskan ulamak. Rahmatan Lil Alamin bukan alasan untuk berlunak dengan maksiat dan kemungkaran serta dosa tanpa menafikan uslub yang terbaik apalag bukan alasan menormalisasikannya. Contohnya berkait isu LGBT.

Ketiga: Islam yang ingin dicampur dengan pemikiran liberalisme. Ia tidak mungkin tercapai Islam yang hakiki apabila Islam yang ingin ditegakkan dan dipraktiskan itu dicanang oleh seseorang yang pemikirannya diselubungi liberalisme. Ini kerana liberalisme adalah pemikiran yang merobek ajaran Islam. Liberalisme itu sendiri ingin bebas daripada ikatan syariat, dosa pahala dan hukum. Meletakkan akal mengatasi wahyu Allah seolah-olah wahyu tidak relevan dan akal manusia itu pemutus segalanya. Contohnya prinsip matlamat menghalalkan cara digunakan demi untuk cita-cita politik walaupun sanggup menongkah hukum hakam dan akhlak.

Keempat: Konsep Maqasid yang ditonjolkan tanpa fiqh pemahaman yang meraikan keperluan fiqh yang lain atau salahfaham aplikasi fiqh seperti fiqh haraki (fiqh perjuangan Islam), fiqh waqie (realiti) dan lain-lain. Maqasid dijadikan alasan untuk tidak melaksanakan Islam. Sebagai contoh usaha meluluskan RUU 355 pun amat kontroversi beralasan masalah kefahaman dan tidak sesuai dengan realiti. Hakikatnya perjuangan Islam untuk memartabatkan syariah di tanahair bukan perkara baharu tetapi ia adalah perjuangan ratusan tahun sejak zaman penjajahan hingga selepas kemerdekaan.

Kelima: Fiqh dan fuqaha' yang diimport daripada luar negara tanpa tapisan dan dijadikan hujah untuk menafikan atau mengenepikan usaha mendaulatkan Islam dalam negara. Justeru tidak bermakna kita menolak keilmuan dan kefaqehan luar akan tetapi ia perlu kepada kefahaman fiqh Waqie yang lebih mendasar. Contohnya feqh tidak melaksanakan syariat Islam pengalaman Turki dimomokkan untuk mengelirukan umat Islam di negara ini sehingga tidak ada keperluan untuk memartabatkan hukum Islam.

Keenam: Pemerintahan PH yang tidak memahami fiqh thawabit (prinsip) yang wajib dipertahankan dan diperjuangkan dengan fiqh mutaghoiyirat (anjal atau fleksibel) yang diharuskan ruang berijtihad.

Isu prinsip Islam dalam bernegara seperti kepimpinan Islam, adalah salah satu contoh bagaimana ia tidak dipertahankan demi survival kuasa umat Islam. Antara lain pertahan prinsip adalah penyebaran dakwah Islam, kefahaman kesyumulan Islam dan juga kewajiban berhukum dengan hukum Islam.

Ketujuh: Kecelaruan pemerintahan PH dalam memahami dan menghayati hifzu ad-deen. Hifzu ad-deen telah disepakati ulamak adalah memelihara agama Islam dan bukannya agama selain Islam. Memastikan kepentingan dan hak Islam dijamin terpelihara adalah secara langsung termasuk hak di kalangan yang bukan Islam terpelihara atas prinsip kemanusiaan dan tanggungjawab agama. Menjaga Islam bukan hanya maksud naratif menjaga sahaja, tetapi ia termasuk membangunkan, mendaulatkan dan menyebarkan Islam. Tambahan lagi, menjaga Islam adalah menjaga umat Islam daripada terjerumus sikap jahil, amalan syirik dan terkeluar daripada syariat.

Kelapan: Kekeliruan kefahaman dan penghayatan Islam yang berpunca terasimilasi dengan fahaman liberalisme yang songsang. Fahaman liberalisme yang ingin kebebasan daripada agama yang dianggap punca kemunduran dan kelemahan Islam. Ia menjadikan Islam yang diliberalkan daripada syariat, menjadikan agama berjasad tapi tanpa roh dan tiada cahaya Iman. Bagaimana mungkin kegelapan dan cahaya bercampur dalam satu masa. Sebagai contoh tuntutan perjuangan liberalisme sering mendapat tempat dalam pemerintahan PH seperti perjuangan normalisasi LGBT, cadangan penghapusan hukuman mati dan kesamarataan Islam dengan agama lain.

Oleh itu, penghayatan Islam yang sebenar menjadi tanggungjawab pemerintah dan kerajaan. Kegagalan kerajaan PH sehingga kini untuk memberikan harapan kepada umat Islam negara ini bahawa kedudukan Islam dan penghayatannya secara syumul adalah angan-angan sahaja.

Pemikiran dan kecelaruan konsep Islam sebagai dasar kerajaan PH adalah satu kepastian bahawa Islam tidak mungkin tertegak dalam negara ini. Ia hanya tinggal slogan dan naratif seperti Rahmatan Lil Alamin tidak lebih sekadar indah rupa tetapi kosong daripada roh dan cahaya.

PAS mengajak semua pihak termasuk pemerintah dan rakyat untuk kembali kepada kesyumulan Islam dan keindahannya. Yakin kepada kemampuan dan kehebatan Islam dalam menyelesaikan permasalahan umat manusia dan dunia ketika ini.
Dengan Islam semua selamat.

"Islam Memimpin"
"Islam Adalah Penyelesaian"

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
22 Mac 2019 / 15 Rejab 1440 – HARAKAHDAILY 22/3/2019

HARI ini hampir tiga dekad PAS memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga yang terkenal dengan keunikan budaya dan merupakan jantung hati orang Melayu negara ini. Menghampiri tiga dasawarsa yang penuh dengan kekangan dan serangan bertali arus daripada musuh dan pesaing.

Riduan Mohamad NorSerambi Makkah ini mendapat reputasinya kerana menjadi pusat pendidikan Islam yang tersohor dalam abad ke-19 dan awal abad 20. PAS berjaya merengkuh Kelantan dalam Pilihanraya Umum pada tahun 1959 dengan tokoh-tokoh besar besar PAS bertanding di Kelantan seperti Prof. Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Prai dan tokoh-tokoh lain.

PAS kehilangan Kelantan dalam pilihan raya tahun 1978, bahkan hanya berjaya bertahan hanya dengan dua kerusi Dun sahaja. PAS terus bergerak, merancang, mengukuhkan pentarbiahan ahli, menggerakkan kesedaran awam untuk kembali menyokong PAS.

Aktivis PAS Kelantan dengan pelbagai latarbelakang pendidikan dan sosioekonomi terus menggempur Kelantan, negeri yang juga terkenal dengan bangsal tomoi, kemeriahan kedai kopi dan keunikan budaya.

Nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Zakaria Ismail, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Mawardi Ahmad, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Mustapha Wan Rusdi, Ustaz Omar Mohamad, Pak Suhail, dan ratusan tokoh-tokoh penggerak parti.

Kelantan disuburkan dengan kuliah-kuliah ilmu, apatah lagi dengan simbahan kebangkitan Islam yang sedang merajai fenomena permulaan abad 15 Hijrah. Tidak sedikit aktivis PAS yang mendekam dalam ISA di zaman Dr Mahathir dalam dekad 80-an, antaranya seperti Ustaz Bunyamin Yaakob, Saudara Zainudin Abdullah, Kamaruzaman Ismail dan lain-lain lagi. Tekanan dan penindasan kepada PAS Kelantan seolah menyuburkan baja perjuangan, ditambah dengan perisa perbalahan dalaman Umno, krisis pemimpin Umno dan istana Kelantan maka mempercepatkan kejatuhan Umno dalam pilihan raya tahun 1990.

Tuduhan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat sebelum ini bahawa Kerajaan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangannya adalah tuduhan melampau dan tidak berasas. Ia memperlihatkan bahawa beliau hanya beremosi tatkala Kerajaan Kelantan mahu meneruskan projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan inisiatif sendiri. Egonya tercabar ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek tersebut atas alasan kekangan kewangan namun mahu diteruskan pula oleh Kerajaan PAS. Hatinya panas jika kerajaan PAS mampu meneruskan projek tersebut tanpa bantuan kerajaan pusat sedangkan kerajaan PH sendiri tidak tertanggung untuk meneruskannya.

Daripada fakta mana yang diperolehi oleh Lim Guan Eng ketika membuat tuduhan sedemikian? Jika begitu, bagaimana kakitangan awam kerajaan negeri mampu bertahan bertahun-tahun lamanya bekerja dengan Kerajaan Kelantan jika kerajaan negeri itu tidak mampu membayar gaji mereka? Sudah tentu kerajaan negeri akan dilapor dan segala media memburukkan Kerajaan Kelantan siang dan malam manakala Kerajaan Kelantan akan didakwa oleh kakitangan terbabit.

Sebegitu besar kebencian dan dendam beliau terhadap PAS memang boleh diagak sejak lama dahulu. Kedegilan dan keangkuhan pemimpin sepertinya membuatkan siapa sahaja rakan Pakatan (dahulunya Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan) sukar berkolaborasi dengan partinya. Maka atas sebab itu, PAS terpaksa menarik diri daripada terus diperlekeh dan dihina oleh beliau dan DAP ketika di dalam PR dahulu. Atas sebab itu jugalah mana-mana parti yang bersekutu dengan DAP terpaksa menahan sabar kerana dominasi DAP yang mahu membolot semuanya.

Mungkin beliau merasa PAS tanpa Pakatan Harapan tidak akan ke mana-mana. Telahan beliau dan pemimpin sepertinya bahawa PAS akan kehilangan segala-galanya dalam PRU14 tidak kesampaian apabila PAS mampu menang bergaya di Kelantan dan Terengganu. Bayangkan, hanya sebuah parti mampu memenangi dua buah negeri, sesuatu yang beliau dan rakan parti komponennya tidak mampu lakukan. Mungkin sebab itu beliau geram dan dendam berpanjangan.

Minggu ini serangan gencar DAP dihalakan kepada PAS terutama akibat usaha penyatuan ummah PAS-Umno yang akan menyingkatkan usaha pemerintahan PH. Mereka mewar-warkan bahawa pemerintahan ala Taliban akan mengusur non muslim jika PAS Umno berkuasa di negara ini. Naratif ini cuba ditancap kemas dengan kononnya Negeri Kelantan yang tidak mempunyai panggung wayang serta acara kesenian tradisional yang tak dibenarkan di Kelantan.

Kokok DAP disambut cemerlang oleh trompet mereka, pemain media sosial pro PH serta avatar mereka. Kelompok ini lupa bahawa Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menjadikan Kelantan negeri bebas maksiat dan mungkar serta patuh syariah. Hanya rakyat Kelantan yang memahami sosiobudaya Kelantan, jika mereka bosan atau benci pada Kelantan pastilah telah lama parti Islam ditendang daripada teraju pemerintahan. Jangan nafikan negeri serambi Mekah ini setiap tahun, pelajar-pelajarnya cemerlang dalam peperiksaan awam negara ini.

Oh, HIV Kelantan paling tinggi kerana tiada panggung wayang. Ketololan apakah yang pimpinan muda DAP ini cuba paparkan dalam masyarakat? Membenci dan berbeda pandangan sekali pun, jangan sampai memfitnah, lihat statistik, negeri manakah paling tinggi kadar pesakit HIV?

Kelantan dan Terengganu adalah jantung hati orang Melayu, dua negeri Pantai Timur ini damai dan tenang dalam rengkuhan pemerintahan PAS. Dipimpin oleh sosok pemimpin yang kredibel, kompeten dan berjiwa rakyat. Serangan DAP kepada dua negeri ini termasuk usaha mengucilkan bantuan kewangan, maka sebenarnya DAP membina jarak intergrasi antara kaum. Berpada-padalah kalian berpolitik! - HARAKAHDAILY 22/3/2019

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.

PAS Perlis mengecam tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berlaku pada hari ini.

Perbuatan seperti ini amatlah melampau, berbahaya dan melanggari batas syariat Islam serta undang-undang negara.

Sehubungan dengan itu, PAS Perlis menggesa agar siasatan yang menyeluruh dibuat bagi memastikan pelaku perbuatan ini dapat dihadapkan ke muka pengadilan dengan kadar segera. Semua pihak yang mempunyai maklumat digesa tampil memberikan kerjasama dengan sepenuhnya.

Selain itu, PAS Perlis juga merakamkan ucapan tahniah kepada pihak bomba atas tindakan pantas yang telah diambil sehingga berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.

Ucapan takziah juga kami rakamkan kepada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atas musibah yang berlaku.

PAS Perlis tetap komited dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahteran (BPMS), justeru kami menyeru agar masyarakat turut bersama-sama menolak sebarang bentuk budaya ekstrem yang boleh menggugat kesejahteraan dan keamanan negara.

Yang Bertanggungjawab

YB MOHD SHUKRI RAMLI
Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis
22 Mac 2019M / 15 Rejab 1440H - HARAKAHDAILY 22/3/2019

SEBELUM ini (pada 6 dan 9 Mac 2019), pimpinan utama DAP (Lim Guan Eng dan Nga Kor Ming) melompat lantun tidak ubah seperti “kera kena belacan”, lalu menyerang kerjasama PAS dan Umno apabila dilihat ummat Islam kian bersatu. (saya telah jawab pada siri penulisan yang lalu)

Terkini, (pada 21 Mac 2019) Adun Keranji (DAP) Perak, Chong Zhemin pula kepanasaran lantas menempelak Kelantan kerana tiada pawagam lalu mendakwa kononnya Kelantan catat kes HIV tertinggi.

tatawiRealitinya:

Statistik yang dicatat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagaimana yang disunting oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES):-

Statistik kes HIV tahun 2015

01. Selangor: 767 kes
02. Johor: 451 kes
03. Wilayah: 448 kes
04. Sabah: 233 kes
05. Sarawak: 230 kes
06. Pahang: 177 kes
07. Kelantan: 169 kes
(Negeri-negeri lain mencatat kes yang lebih rendah berbanding negeri-negeri di atas.)

Statistik kes HIV tahun 2016:

01. Selangor: 888 kes
02. Wilayah: 499 kes
03. Johor: 321 kes
04. Sarawak: 258 kes
05. Sabah: 256 kes
06. Pahang: 212 kes
07. Kelantan: 189 kes
(Negeri-negeri lain mencatat kes yang lebih rendah berbanding negeri-negeri di atas.)

6. Statistik kes HIV tahun 2017:

01. Selangor: 986 kes
02. Wilayah: 464 kes
03. Johor: 347 kes
04. Sarawak: 226 kes
05. Sabah: 211 kes
06. Pulau Pinang: 193 kes
07. Kedah: 187 kes
08. Perak: 154 kes
09. Kelantan: 136 kes
(Negeri-negeri lain mencatat kes yang lebih rendah berbanding negeri-negeri di atas.)

Selepas ini, entah apa lagi fitnah murahan yang bakal direka cipta oleh bangsa DAP untuk menutup isu skandal terowong di Penang dan juga mendepani gelombang kerjasama PAS dan Umno yang bakal merubah lanskap politik tanah air.

Saya percaya, DAP telah hilang sentuhan politik waras. Kini mereka terpaksa menggunakan skil politik fitnah dan gaya politik provokasi untuk mencetus keresahan rakyat agar tidak menyokong kerjasama PAS dan Umno.

Namun saya memberi keyakinan penuh kepada rakyat khasnya anak-anak muda yang cerdas akal dan celik politik untuk menilai dan menolak politik provokasi dan politik fitnah yang diamalkan oleh DAP mutakhir ini.

Politik arrogant DAP yang dilihat sedang mendominasi kerajaan Pakatan Harapan hari ini semakin hilang kawalan. Terhuyung hayang “kemabukan” di bawah pengaruh emosi teruja berada di puncak kuasa.

Tolak Fitnah DAP

NASRUDIN HASSAN
15 Rejab 1440 | 22 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 22/3/2019

 

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, menjelaskan bahawa kerajaan akan mengurangkan subsidi Lembaga Tabung Haji (TH) ke atas jemaah haji dengan menggunakan konsep “Istito’ah”.

Konsep berkenaan diperkenalkan bagi mengurangkan bantuan TH. Istito’ah bermaksud seseorang hanya boleh pergi haji dalam keadaan yang mampu.

shahirDewan Pemuda IKATAN Malaysia mengecam kenyataan YB Menteri yang seakan-akan menggunakan istilah arab dan bermain dengan kata-kata untuk menghalalkan subsidi dikurangkan. Kos sebenar haji ialah RM22,900.

Selama ini, rakyat hanya membayar RM9,980 untuk membolehkan mereka mengerjakan ibadah rukun Islam kelima itu. Persoalannya, jika dahulu kerajaan Barisan Nasional menjaga kebajikan rakyat, terutama umat Islam, kenapa hari ini kerajaan Pakatan Harapan terus membebankan rakyat?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa kerajaan memperhalusi balik keputusan ini kerana keputusan sebegini menekan rakyat. Bagaimanakah pakcik dan makcik di kampung hendak mengumpul RM22,900 di waktu keadaan ekonomi Malaysia sendiri makin tenat dengan kos sara hidup makin melambung tinggi.

Pakcik dan makcik di kampung juga tertekan dengan penurunan harga getah dan kelapa sawit yang mencari punca mata pencarian mereka. Jika pakcik dan makcik berjimat dan menyimpan sebanyak RM100 sebulan, mereka memerlukan masa menyimpan selama 229 bulan atau 19 tahun!

Seharusnya subsidi terus diberikan kepada rakyat Malaysia untuk pergi mengerjakan haji pertama. Itulah yang dinamakan kerajaan berkebajikan. Banyak aset TH yang sudah diletakkan di bawah SPV.

Ke manakah perginya apa jua pulangan dan keuntungan daripada dasar penstrukturan semula aset-aset TH ini hingga kerajaan masih mahu memeras segalanya daripada rakyat?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sekali lagi menggesa YB Menteri memperhalusi kembali keputusan memotong subsidi haji demi menjaga kebajikan rakyat, dalam kes ini rakyat yang beragama Islam.

Demi Bangsa Malaysia!

SHAHIR ADNAN
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia
21 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 21/3/2019

More Articles ...