17
Tue, Sep
45 Artikel Baru

TKPM tawar petani sewa murah guna tanah

Nasional
Typography

SEWA tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Terengganu ialah yang terendah di Malaysia. Hanya RM150/hektar setahun. Biarlah kadar sewa kita kekal rendah asalkan rakyat dapat manfaat dan memperolehi hasil dari usaha mereka.

TKPM ialah tanah kerajaan yang diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara sebagai kawasan pengeluaran makanan dengan Pengarah Pertanian Negeri bertindak sebagai Pegawai Pengawal. Empunya hak milik tanah adalah Pihak Berkuasa Negeri. Di seluruh negeri Terengganu terdapat sekitar 1022 hektar tanah yang telah diwartakan sebagai TKPM.

Tanah ini disewakan kepada pengusaha untuk ditanam dengan tanaman kontan yang menghasilkan makanan sahaja seperti sayuran dan buah-buahan. Tanaman kekal tak dibenarkan.

Permohonan untuk menyewa tanah TKPM boleh diajukan melalui Jabatan Pertanian Daerah masing-masing. Seterusnya satu Jawatankuasa TKPM yang dipengerusikan oleh Exco Pertanian akan menimbang setiap permohonan yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian. Akhirnya Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan membuat keputusan berdasarkan syor dari Jawatankuasa TKPM.

Antara kerja pemulihan yang sedang dibuat oleh Kerajaan Negeri kepada tanah TKPM ialah pemutihan semula senarai peserta TKPM yang tak mematuhi perjanjian seperti tak mengusahakan tanah yang disewa, membiarkan tanah ditumbuhi semak samun, memberi sewa tanah kepada pihak lain dan tak menjelaskan bayaran sewa. Kita ingin supaya maksud tanah TKPM ini menepati objektif ia diwartakan.

Kita perlu masukkan peserta baru yang benar-benar berhajat kepada tanah untuk diusahakan agar tanah yang diwartakan sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan benar-benar mampu menghasilkan sumber makanan kepada rakyat negeri kita.

DR AZMAN IBRAHIM
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu.
10 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 10/3/2019