19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Khalil tidak pertahan Ketua Pemuda PAS

Nasional
Typography

MASA sudah semakin hampir ke Muktamar PAS. Sekarang ini Dewan Pemuda di setiap kawasan sedang melangsungkan mesyuarat diikuti pula dengan negeri-negeri sebelum sampai ke Muktamar Tahunan. Tahun ini tahun pemilihan dan saya berharap ianya dapat berlansung dengan penuh rasa kasih sayang dan ukhuwah sesama kita.

Dengan rasa rendah diri dan memohon keampunan dari Allah SWT, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan yang saya tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia. Saya merasakan sudah sampai masa untuk saya memberi laluan kepada saf kepimpinan baru untuk menerajui DPPM ke arah yang lebih baik dan cemerlang insya-Allah.

Dengan pertolongan Allah SWT serta sokongan, dorongan dan bantuan yang tidak berbelah bahagi dari rakan-rakan kepimpinan DPPM termasuk juga DPPN, saya mengucapkan terima kasih dan bersyukur kerana dapat merasai nikmat berjemaah sepanjang tempoh saya diberi amanah untuk memimpin DPPM sesi 2017/2019.

Saya sudah bersama DPPM sejak 2006 dan merasakan wajar ia diberi nafas baru. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan rasa syukur kepada pimpinan DPPM terdahulu yang banyak memberi bimbingan, dorongan dan nasihat kepada saya tanpa jemu sepanjang saya terlibat dengan DPPM.

Saya dengan ini memohon maaf jika sepanjang tempoh saya memimpin DPPM terdapat kekurangan, kelemahan atau kekhilafan. Sesungguhnya sepanjang memimpin DPPM saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik namun sebagai manusia sudah semestinya akan terdapat kekurangan dan kelemahan.

Saya mendoakan agar DPPM terus bergerak maju ke hadapan serta senantiasa dalam peliharaan Allah SWT demi untuk memartabatkan Islam, memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara. Saya percaya saf kepimpinan baharu kelak mampu menjadikan DPPM lebih berdaya maju, diterima oleh rakyat dan menjadi ikutan serta benteng seluruh umat Islam di dalam negara.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
4 Rejab 1440/11 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 11/3/2019