21
Sat, Sep
28 Artikel Baru

Statut Rome ICC: Khuatir campur tangan asing

Nasional
Typography

SAYA telah meneliti beberapa laporan media berkenaan perkara di atas termasuk kenyataan rasmi dari SUHAKAM. Yang terbaru adalah kenyataan rasmi dari Wisma Putra berkenaan isu yang sama.

Jika diamati objektif Kerajaan secara langsung untuk menyertai Statut Rome ICC ini iaitu untuk membanteras jenayah antarabangsa yang sangat serius iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan, objektif-objektif berkenaan adalah selari dengan prinsip-prinsip keadilan Islam yang PAS sendiri dukungi dan pertahankan.

Walau bagaimanapun, jika diamati dengan lebih terperinci dalam beberapa objektif yang digariskan Wisma Putra khususnya berkenaan jenayah terhadap kemanusiaan, saya berpandangan bahawa kita perlu lebih berhati-hati kerana dikhuatiri terdapat terma-terma yang tidak selari di antara Statut Rome ICC dengan Perlembagaan Negara dan Undang-undang yang sedia ada. Lebih-lebih lagi jika ia bercanggah dengan Hak Asasi Melayu dan Bumiputera, Hak Raja-raja Melayu, bidang kuasa Mahkamah Syariah serta Kedaulatan Negara.

Antara beberapa perkara yang ingin saya bangkitkan adalah:

1.     Kedudukan Artikel 7 di dalam Statut Rome yang berkait rapat dengan 'Torture' di mana Sebatan Syariah cuba diklasifikasikan pihak tertentu sebagai 'Torture' di dalam Konvensyen CAT (Convention Against Torture atau Konvensyen Terhadap Penyeksaan). Adakah dengan keputusan Kerajaan PH ini, akan berlaku campur tangan pihak luar terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah khususnya terhadap hukuman sebatan?

2.     Keputusan Kerajaan yang tidak mahu sertai Statut Rome ICC sebelum ini atas sebab-sebab tertentu, yang berkait rapat dengan cabaran untuk meminda Perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada malah wujudnya undang-undang yang sedia ada sudah memadai untuk memenuhi objektif Statut Rome ICC. Kenapa tiba-tiba pada 4 Mac baru-baru ini, pihak Kerajaan mahu pula sertai Statut Rome ICC ini? (Sila Rujuk Laporan Kebangsaan yang dihantar wakil Kerajaan (Bahagian Hak Asasi Manusia dan Kemanusiaan Kementerian Luar Negeri) untuk tempoh Mac 2013 sehingga Mac 2018 kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Persidangan Universal Periodic Review (UPR) atau Kajian Berkala Universal yang dianjurkan baru-baru ini pada 8 November 2018).

3.      Beberapa Negara Islam tidak sertai ICC seperti Brunei, Indonesia, Turki, Sudan Selatan, Kazakhstan, Pakistan, Arab Saudi, Iraq, Libya, Qatar dan lain-lain. Malah jiran kepada Malaysia iaitu Thailand dan Singapura juga tidak sertai Statut Rome ICC ini. Kenapa tiba-tiba Malaysia di bawah Kerajaan Pakatan Harapan mahu sertai Statut Rome ICC ini?

4.     Kesan pada kuasa Raja-raja Melayu khususnya terhadap Mahkamah Khas, kedudukan Ketua Negara, imuniti dan kekebalan. Kesannya pada Umat Islam secara keseluruhannya kerana Raja-raja Melayu adalah Ketua Agama Islam.

5.     Kesan kepada campur tangan negara atau pihak asing terhadap kes-kes 'jenayah kemanusiaan' di dalam negara yang mungkin bukan pun ‘jenayah kemanusiaan’ dalam kes ini adalah sebatan syariah yang dianggap sesetengah pihak sebagai ‘jenayah kemanusiaan’.

6.     Masalah tiada reservasi untuk Statut Rome seperti Konvensyen atau Triti Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang lain. Kesannya pada undang-undang tempatan yang sedia ada jika berlaku percanggahan atau tidak selari dengan Statut Rome dan ICC.

7.     Jika objektif Statut Rome ICC ini penting untuk membanteras jenayah antarabangsa yang sangat serius iaitu genosid, kenapa Israel, Amerika Syarikat, Myammar serta Syria tidak menyertai Statut Rome ini?

Saya juga ingin mencadangkan agar keputusan Kerajaan PH untuk menyertai Statut Rome ditarik balik berdasarkan Artikel 127 Statut Rome sendiri yang membenarkan mana-mana negara untuk menarik balik penyertaan terhadap ICC sehingga Konsultansi Awam dengan semua pihak yang berkepentingan dapat dilaksanakan terlebih dahulu khususnya dengan Majlis Raja-raja, Majlis Agama Negeri-negeri dan pihak JAKIM. Malah Burundi, dan Filipina yang pernah menyertai Statut Rome ICC lebih 10 tahun yang lalu akhirnya telah menarik balik penyertaan mereka pada tahun 2017 dan 2019.

YB HAJI AHMAD AMZAD MOHAMED @ HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
4 Rejab 1440 / 11 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 11/3/2019