21
Tue, May
18 Artikel Baru

Islamophobia melahirkan Islam-mania

Nasional
Typography

●     WALAUPUN agak dangkal dan bersifat escapism, tetapi dakwaan bahawa pembunuh di dua masjid New Zealand memiliki masalah mental ada munasabahnya. Kegilaan tersebut didorong daripada propaganda musuh Islam sekian lama yang menanam kebencian terhadap Islam melalui agenda Islamophobia. Justeru itu, Islamphobic boleh dianggap sebagai orang gila.

●     Medan propaganda Islamophobia tidak terhad hanya di dalam media arus perdana ataupun portal-portal berita sahaja. Malah ia turut melibatkan filem, lagu, klip video, permainan video dan juga sukan. Bahkan medan-medan lain ini lebih kuat mempengaruhi generasi baharu kerana filem, lagu, game dan sukan adalah sebahagian dari trend masa kini. Budaya hedonisme menyebabkan ia telah sebati dengan generasi muda.

●     Tampak jelas melalui paparan live feed yang dimuat naik di akaun media sosial pembunuh tersebut, beliau dipengaruhi permainan tembak menembak seperti PUBG dan Counter-Strike. Posisi kamera yang diletakkan sama dengan paparan daripada permainan popular anak muda sekarang.

●     Sebelum dunia memasuki abad ke-21 lagi, filem dan game telah menjadi medium penyebaran doktrin Islamophobia secara halus. Contohnya permainan Red Alert, memaparkan negara-negara umat Islam seperti Iraq, Syria, dan Iran sebagai pengganas di samping memposisikan US, Britain dan blok Barat sebagai hero dan penyelamat. Filem juga serupa. Seringkali menjadikan Damsyik, Baghdad, Afghanistan serta Pakistan sebagai sarang pengganas.

●     Gambaran songsang terhadap Islam ini akan membangkitkan kebencian terhadap umat Islam, lalu mendorong masyarakat bertindak ganas terhadap umat Islam atas nama memerangi keganasan. Pelaku akan merasakan mereka seolah hero kerana membantu menghapuskan 'pengganas', tanpa menyedari tindakan mereka itulah yang ganas. Bukankah ini satu kegilaan?

●     Modus operandi ini pernah digunakan oleh US dengan pementasan drama 11 September 2001. Kejadian yang terlalu dramatik untuk dipercayai itu digunakan bagi menuding jari terhadap Islam. Dengan pantas ia mendorong kepada kemarahan masyarakat dunia sehingga dengan mudah mendapat sokongan massa dalam menghalalkan tindakan balas menyerang Afghanistan.

Alasannya untuk memburu Osama ben Laden, tetapi disebaliknya mereka cuba menguasai negara Asia Tengah itu bagi meluaskan hegemoni. Kematian orang tidak bersalah jauh lebih ramai daripada bilangan suspek buruan. Tetapi negara pengganas nombor 1 dunia itu tetap dianggap sebagai penjaga keamanan. Tidakkah ini juga satu kegilaan?

●     Kerana itulah sebelum ini kita begitu menentang pembikinan filem yang memaparkan umat Islam sebagai pengganas. Walaupun tidak dinafikan memang ada sesetengah umat Islam yang menjadi pengganas naif mengenai konsep jihad, tetapi melakonkan perkara tersebut tanpa penerangan yang jelas mengenai konsep jihad yang sebenar hanya akan membentuk persepsi yang prejudis terhadap ajaran Islam secara keseluruhan.

●     Berhadapan dengan situasi yang tidak menguntungkan Islam ini, penggiat seni, hiburan dan sukan di kalangan umat Islam perlu mengambil langkah pro-aktif dalam membantu dakwah menyebarkan Islam yang sebenar kepada orang awam terutama generasi muda. Menggunakan platform seni, hiburan dan sukan sebagai wadah menentang Islamophobia boleh dikira sebagai satu bentuk jihad kontemporari yang dituntut agama.

●     Walau bagaimanapun, strategi yang tersusun perlulah dirangka supaya jihad ini benar-benar berkesan bagi membanteras Islamophobia di samping tidak menjejaskan kualiti bahan yang ditawarkan. Menubuhkan organisasi yang mengumpulkan penggiat seni, hiburan dan sukan yang memiliki kesedaran Islam mungkin langkah pertama yang patut diambil.

●     Selain itu, penggiat seni, hiburan dan sukan perlu juga membantu perjuangan Islam dalam menawarkan bahan yang sederhana dan tidak keterlaluan. Tekuni doktrin hedonisme agar kita tidak menjadi penyumbang kepada agenda musuh Islam melalaikan umat ini daripada kebenaran.

●     Mungkin cadangan ini agak idealistik, tetapi ia bukanlah suatu perkara yang mustahil. Mungkin perlu ada agamawan yang khusus membimbing penggiat bidang-bidang popular ini. Sebagaimana sektor korporat dan perbankan yang sudah mewujudkan posisi penasihat syariah, sudah sampai masanya sektor kesenian, hiburan dan sukan melakukan langkah yang sama.

(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 17/3/2019