21
Tue, May
18 Artikel Baru

Siku dan lutut politik (3)

Nasional
Typography

●     SERAMAI lapan MP, Adun dan Senator di Sabah secara rasminya diterima sebagai ahli Bersatu setelah mereka mengisytiharkan keluar dari Umno. Kemasukkan mereka ini dalam Bersatu, akan membuka jalan kesenangan bagi kedua-dua pihak dari Semenanjung dan juga Sabah. Bersatu Semenanjung akan mudah mencari ahli dan kawasan baharu, hasil bantuan lapan orang ini. Dan mereka juga pastilah akan mendapat tempat utama organisasi parti nanti. Plot cerita yang sangat mudah dibaca. Bukan susah sangat nak tinggal kawan masa susah. Walau bagaimanapun sehingga kini, PH mengambil ketetapan untuk menyokong kepimpinan Warisan di Sabah.

Salah seorang daripada lapan individu yang keluar Umno itu ialah Ronald Kiandee Ahli Parlimen Beluran yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Ketika perbicaraan saman malu antara Anwar Ibrahim dan Anifah Aman pada 15 September 2014, Ronald memberitahu mahkamah yang beliau telah ditawarkan sebanyak RM5 juta untuk menukar parti mengikut Anwar dalam rancangan 16 September dahulu. Namun beliau dengan tegas menolak. Ronald dilaporkan berkata beliau tidak akan lompat parti, biar apapun yang ditawarkan. Begitu tegas prinsip beliau dahulu. Namun kini, dari berharga RM5 juta, dia dijual lelong, tanpa tanda harga, masuk pula ke kem yang ada Anwar di dalamnya.

●     Ronald juga adalah Ketua PAC Parlimen yang secara prinsipnya telah dipersetujui oleh kerajaan PH untuk jawatan itu diserahkan kepada pembangkang. Maka apabila beliau telah masuk kerajaan, Nurul Izzah dan Hannah Yeoh, dikhabarkan meminta jawatan itu dilepaskan oleh Ronald bagi ia dikalungkan pula kepada ahli Parlimen pembangkang yang lain.

Desakan ini adalah kerana kenyataan Tun Mahathir terdahulu yang berkata langkah menyerahkan jawatan itu kepada pembangkang bukan peraturan negara, ia hanyalah persetujuan dari semua parti pemerintah, bukan membabitkan Perlembagaan.

Sebenarnya janji jawatan ketua PAC ini ada dalam Manifesto PH. Mungkin Nurul Izzah itu keliru siapa Tun. Yang dah dijanjikan secara terang nak bagi jawatan PM kat Anwar pun Tun lipat, apa lagi janji yang ini. Duduk dalam pakatan yang sama pun kena kencing juga. Dan, berani ke nak lawan Tun?

●     Pembunuhan orang Islam di New Zealand semalam, masih lagi menjadi kesedihan bagi umat Islam. Dan tanpa disangka, ia turut ditangisi oleh seluruh dunia yang segera mengutuk serangan yang tidak berperikemanusiaan itu. Bukan sahaja negara-negara Islam, malah Donald Trump yang jahat itu pun, turut mengutuknya. Tidak terkecuali juga dalam New Zealand sendiri, apabila seorang remaja 'Eggboy' secara tiba-tiba memecahkan telur ke atas kepala Senator dalam satu sidang akhbar.

Kebencian yang ditaburkan oleh Senator Fraser Anning itu memakan dirinya sendiri. Dia juga buat-buat lupa apabila kehadiran kaumnya, Inggeris di New Zealand 250 tahun dahulu, Orang Asli New Zealand turut dibunuh oleh mereka. Diberitakan juga semalam, sekumpulan Kristian berjaga di luar masjid ketika umat Islam solat. Kerjasama Islam dengan Kristian semakin erat. Kita yakin yang peristiwa ini akan menjadi seperti 9/11 iaitu orang bukan Islam beramai-ramai masuk Islam kerana mendapat maklumat yang salah tentang Islam sebelum ini. Tapi ada sesetengah makhluk, takut dengan kerjasama ke arah kebaikan. Jadi macam anjing bodoh, posmen dia salak, pencuri pun dia salak. Tak tahu beza.

●     Husam Musa semakin kuat mempromosikan ganja sebagai bahan ubatan. Beliau juga mendakwa bahawa satu kesilapan apabila ganja hanya dilihat dari sudut ketagihan, bukannya kebaikan penyembuhan. Dakwa beliau, ganja pernah dijadikan ubat bagi sakit beliau dahulu.

Kita tidak faham kenapa beliau bersungguh benar untuk mempromosikan ganja ini. Hari itu sumbu ajaib, entah apa jadi. Harap remaja yang letak sumbu dalam motor hari itu, masih tak perlu isi minyak, sebab jimat gila. Kemudiannya dia cakap dapat maklumat dari jin. Tak cukup dengan itu, kata dapat info yang PAS terima duit dari Umno melalui akaun Affin Bank. Isu bangunan Wisma Tok Guru di Salor, beliau kalah. Perihal ibu pejabat PAS Pusat dahulu, tak siap-siap lagi. Janji stadium baharu kepada rakyat Kelantan, tak siap-siap. Kambing Jamnapari, mati. Royalti tak dapat-dapat. Banyak lagilah.

Sekali menipu, orang dah tak percaya, apa lagi banyak kali. Tun Mahathir pun tak percayakan Husam. Tak lantik pun dia jadi Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Kelantan. Rakyat Kelantan pun tak yakin, tolak dia dalam PRU. Orang yang dekat dengan dia pun tak percaya, kita nak percaya ke? Harap janganlah cadangan nak menghalalkan ganja ialah untuk melepaskan budak-budak nakal yang ditahan kerana hisap ganja sudahlah. Manalah tahu kan?

MOHD NASIR ABDULLAH
17 Mac 2019
Istanbul, Turki - HARAKAHDAILY 17/3/2019