21
Wed, Aug
32 Artikel Baru

Keadilan buat keluarga mangsa keganasan di NZ

Nasional
Typography

NEW Zealand sentiasa sebelum ini kami anggap sebagai sebuah negara yang selamat dan tidak ada ancaman yang luar biasa terhadap keselamatan anak-anak kami.

Sehinggalah bila berlaku kejadian mengejutkan tembakan yang dilakukan di masjid oleh seorang lelaki berasal dari Australia pada waktu umat Islam mahu menunaikan ibadah Solat Jumaat.

Ia merupakan suatu perlakuan terrorisma dan jenayah yang terkutuk yang langsung tidak berperikemanusiaan dan kami seperti masyarakat antarabangsa mengutuknya sekeras-kerasnya.

Apa yang berlaku adalah berpunca daripada agenda pihak tertentu yang mengapi-apikan kebencian secara tidak rasional terhadap Islam sedangkan Islam sangat menganjurkan perdamaian dan mengecam kezaliman dan keganasan.

Realiti yang berlaku adalah umat Islamlah mangsa yang telah dan sedang mengalami kezaliman serta keganasan yang berterusan di seluruh dunia melalui siri-siri peperangan, pencerobohan dan penjajahan yang tidak berasaskan prinsip keadilan yang betul.

Kami mengalu-alukan dan memuji kenyataan Perdana Menteri New Zealand yang mahu menanggung kos pengebumian dan memberi perlindungan keselamatan kepada keluarga mangsa adalah tindakan yang patut diambil oleh kerajaan yang bertanggungjawab. Ia menunjukkan kenyataan oleh seorang Senator dari Australia, Senator Fraser Anning bukanlah mewakili rumpun Australasia yang kami yakin masih rasional dan tidak sewenangnya menyalahkan imigran Muslim sebagai punca keganasan. Tindakan seorang pemuda melontar telur busuk kepada Senator berkenaan menunjukkan kenyataan Senator berkenaan juga tidak diterima di Australia.

Namun begitu, bagi menjamin mangsa diberi keadilan sewajarnya, kami menuntut semua pengganas dibawa ke muka keadilan dan diberi hukuman yang setimpal.

Pengganas yang membunuh orang awam tanpa mengira orang-orang tua dan kanak-kanak tanpa perikemanusiaan ini tidak sewajarnya dibenarkan hidup dalam masyarakat. Mereka sepatutnya dihukum mati setelah diadili sebagai mengembalikan keadilan kepada mangsa dan keselamatan orang awam.

“Islam Memimpin”

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Parlimen Kuala Terengganu (P036)
17 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 17/3/2019