17
Wed, Jul
40 Artikel Baru

Islam era PH tiada hala tuju

Nasional
Typography

FIRMAN Allah swt dalam surah Al Baqarah ayat 42,

(وَلَا تَلۡبِسُوا۟ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتَكۡتُمُوا۟ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ)

Maksudnya, "Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya..."

NajhanSejak pemerintahan negara diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH), hala tuju dan kedudukan Islam dalam negara tidak mendapat tempat yang sewajarnya dan ia terus hilang arah.

Agama Islam walaupun sudah termaktub dalam perlembagaan sebagai agama persekutuan namun ia masih belum mampu diterjemahkan oleh pemerintah PH dengar tafsiran dan pelaksanaan yang sebaik mungkin. Walaupun pernah ada suara daripada salah satu parti komponen PH yang menyatakan bahawa apabila menang PRU14 kita akan laksana Islam, tapi ia kini umpama bermimpi di siang hari".

Slogan Malaysia Baharu tidak mencerminkan gambar sebenar pada penghayatan dan pelaksanaannya. Ia tidak lebih daripada sekadar retorik kononnya membezakan zaman pemerintahan BN sebelumnya dan sekarang. Tambahan lagi, kedudukan dan penghayatan Islam sebenar secara syumul dan perlaksanaan yang menepati maksud ad-deen amat jauh ketinggalan sekalipun dibandingkan era zaman Barisan Nasional.

Jika diteliti apakah punca sebenar dalam usaha mendaulatkan agama Islam sebagai agama persekutuan masih belum tercapai malah jauh daripada sasaran pada zaman pemerintahan PH ini?

Ia dikenalpasti terdapat 8 sebab sebagai faktor utama.

Pertama: Kesalahan maksud Maqasid Syariah yang dicanangkan oleh PH sebagai panduan usaha-usaha memartabatkan Islam dengan mengenepikan nas atau dalil yang jelas samada daripada Al-Quran, Sunnah dan kesepakatan ulama.

Maqasid Syariah sebenarnya bukanlah dalil akan tetapi adalah sekadar panduan untuk menjayakan tujuan dan maksud Syariah itu sendiri. Tetapi ia dijadikan dalil hujah sehingga mengenepikan dalil sebenar yang bersifat perintah dan larangan atau hukum hakam. Sebagai contoh, terdapat kesalahan memahami maqasid dengan mengenepikan hukuman sebatan di khalayak kerana maqasid melarang menjatuhkan maruah. Hujah menjatuhkan maruah sehingga dianggap hukuman sebatan tidak relevan.

Kedua: Kekeliruan dalam penghayatan Maqasid Syariah dan Rahmatan lil Alamin.

Kekeliruan ia berpunca daripada penolakan syariah tetapi pada masa yang sama inginkan maqasid. Orang beriman wajib menyakini bahawa hanya menerusi syariah Islam akan tercapai Maqasid Islam yang diimpikan. Begitu juga Rahmatan Lil Alamin difahami dengan 1 maksud sahaja iaitu berlemah lembut tanpa penghayatan maksud yang sempurna yang diperjelaskan ulamak. Rahmatan Lil Alamin bukan alasan untuk berlunak dengan maksiat dan kemungkaran serta dosa tanpa menafikan uslub yang terbaik apalag bukan alasan menormalisasikannya. Contohnya berkait isu LGBT.

Ketiga: Islam yang ingin dicampur dengan pemikiran liberalisme. Ia tidak mungkin tercapai Islam yang hakiki apabila Islam yang ingin ditegakkan dan dipraktiskan itu dicanang oleh seseorang yang pemikirannya diselubungi liberalisme. Ini kerana liberalisme adalah pemikiran yang merobek ajaran Islam. Liberalisme itu sendiri ingin bebas daripada ikatan syariat, dosa pahala dan hukum. Meletakkan akal mengatasi wahyu Allah seolah-olah wahyu tidak relevan dan akal manusia itu pemutus segalanya. Contohnya prinsip matlamat menghalalkan cara digunakan demi untuk cita-cita politik walaupun sanggup menongkah hukum hakam dan akhlak.

Keempat: Konsep Maqasid yang ditonjolkan tanpa fiqh pemahaman yang meraikan keperluan fiqh yang lain atau salahfaham aplikasi fiqh seperti fiqh haraki (fiqh perjuangan Islam), fiqh waqie (realiti) dan lain-lain. Maqasid dijadikan alasan untuk tidak melaksanakan Islam. Sebagai contoh usaha meluluskan RUU 355 pun amat kontroversi beralasan masalah kefahaman dan tidak sesuai dengan realiti. Hakikatnya perjuangan Islam untuk memartabatkan syariah di tanahair bukan perkara baharu tetapi ia adalah perjuangan ratusan tahun sejak zaman penjajahan hingga selepas kemerdekaan.

Kelima: Fiqh dan fuqaha' yang diimport daripada luar negara tanpa tapisan dan dijadikan hujah untuk menafikan atau mengenepikan usaha mendaulatkan Islam dalam negara. Justeru tidak bermakna kita menolak keilmuan dan kefaqehan luar akan tetapi ia perlu kepada kefahaman fiqh Waqie yang lebih mendasar. Contohnya feqh tidak melaksanakan syariat Islam pengalaman Turki dimomokkan untuk mengelirukan umat Islam di negara ini sehingga tidak ada keperluan untuk memartabatkan hukum Islam.

Keenam: Pemerintahan PH yang tidak memahami fiqh thawabit (prinsip) yang wajib dipertahankan dan diperjuangkan dengan fiqh mutaghoiyirat (anjal atau fleksibel) yang diharuskan ruang berijtihad.

Isu prinsip Islam dalam bernegara seperti kepimpinan Islam, adalah salah satu contoh bagaimana ia tidak dipertahankan demi survival kuasa umat Islam. Antara lain pertahan prinsip adalah penyebaran dakwah Islam, kefahaman kesyumulan Islam dan juga kewajiban berhukum dengan hukum Islam.

Ketujuh: Kecelaruan pemerintahan PH dalam memahami dan menghayati hifzu ad-deen. Hifzu ad-deen telah disepakati ulamak adalah memelihara agama Islam dan bukannya agama selain Islam. Memastikan kepentingan dan hak Islam dijamin terpelihara adalah secara langsung termasuk hak di kalangan yang bukan Islam terpelihara atas prinsip kemanusiaan dan tanggungjawab agama. Menjaga Islam bukan hanya maksud naratif menjaga sahaja, tetapi ia termasuk membangunkan, mendaulatkan dan menyebarkan Islam. Tambahan lagi, menjaga Islam adalah menjaga umat Islam daripada terjerumus sikap jahil, amalan syirik dan terkeluar daripada syariat.

Kelapan: Kekeliruan kefahaman dan penghayatan Islam yang berpunca terasimilasi dengan fahaman liberalisme yang songsang. Fahaman liberalisme yang ingin kebebasan daripada agama yang dianggap punca kemunduran dan kelemahan Islam. Ia menjadikan Islam yang diliberalkan daripada syariat, menjadikan agama berjasad tapi tanpa roh dan tiada cahaya Iman. Bagaimana mungkin kegelapan dan cahaya bercampur dalam satu masa. Sebagai contoh tuntutan perjuangan liberalisme sering mendapat tempat dalam pemerintahan PH seperti perjuangan normalisasi LGBT, cadangan penghapusan hukuman mati dan kesamarataan Islam dengan agama lain.

Oleh itu, penghayatan Islam yang sebenar menjadi tanggungjawab pemerintah dan kerajaan. Kegagalan kerajaan PH sehingga kini untuk memberikan harapan kepada umat Islam negara ini bahawa kedudukan Islam dan penghayatannya secara syumul adalah angan-angan sahaja.

Pemikiran dan kecelaruan konsep Islam sebagai dasar kerajaan PH adalah satu kepastian bahawa Islam tidak mungkin tertegak dalam negara ini. Ia hanya tinggal slogan dan naratif seperti Rahmatan Lil Alamin tidak lebih sekadar indah rupa tetapi kosong daripada roh dan cahaya.

PAS mengajak semua pihak termasuk pemerintah dan rakyat untuk kembali kepada kesyumulan Islam dan keindahannya. Yakin kepada kemampuan dan kehebatan Islam dalam menyelesaikan permasalahan umat manusia dan dunia ketika ini.
Dengan Islam semua selamat.

"Islam Memimpin"
"Islam Adalah Penyelesaian"

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN HALIM
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
22 Mac 2019 / 15 Rejab 1440 – HARAKAHDAILY 22/3/2019