17
Wed, Jul
40 Artikel Baru

Istito’ah: Jangan jadi alasan kurang subsidi

Nasional
Typography

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengambil perhatian terhadap kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bahawa jamaah haji perlu diingatkan tentang konsep istito’ah (kemampuan) sebagai syarat untuk mengerjakan haji. Kenyataan itu dibuat ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Dungun yang bertanya berhubung kedudukan subsidi yang diberikan oleh Tabung Haji untuk jemaah haji.

Dengan tidak menafikan bahawa kemampuan merupakan syarat untuk mengerjakan haji, DPPM ingin mempersoalkan adakah ia merupakan satu isyarat bahawa subsidi kepada bakal haji yang pertama kali menunaikan haji akan dikurangkan? Perlu diingatkan bahawa praktis memberikan subsidi telah diamalkan dengan baik oleh pihak kerajaan sejak tahun 2001. Mengapa Pakatan Harapan yang memerintah tidak sampai setahun sudah mula berbicara dengan bahasa menjurus kepada pengurangan subsidi haji?

Tujuan penubuhan Lembaga Tabung Haji adalah untuk membantu umat Islam dan mengurus dana pendeposit untuk menunaikan haji. Konsep istito'ah (kemampuan) tidak boleh menjustifikasikan tindakan kerajaan untuk mengurangkan subsidi, sebaliknya kerajaan mesti bersikap sebagai 'enabler' atau pemudah cara kepada rakyat untuk menunaikan haji. Jangan menambah beban kepada rakyat untuk melaksanakan ibadah ini.

Menurut LTH, pemberian subsidi haji adalah sumbangan terbesar dan terpenting di bawah peruntukan Tanggung Jawab Sosial Korporat (CSR) Bukan Zakat. Ia juga disifatkan sebagai perkongsian kejayaan bersama antara LTH dengan sokongan para pendeposit. Kerajaan mesti ingat, umat Islam sentiasa memberikan sokongan kepada LTH.

Pada tahun 2018, peningkatan hampir RM1 bilion jumlah deposit umat Islam iaitu daripada RM73.6 bilion kepada RM74.5 bilion. Sementara itu, sebanyak 31,580 akaun baru yang telah dibuka dalam tempoh yang sama. Hal ini menunjukkan sokongan umat Islam kepada LTH tetap utuh. Sebagai imbalan kepada sokongan ini, pihak kerajaan tidak wajar mengurangkan subsidi kepada semua bakal haji yang pertama kali menunaikan haji.

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 23/3/2019