19
Thu, Sep
40 Artikel Baru

Anwar akan sampai petak 100 atau ditelan ular?

Nasional
Typography

ANWAR semakin gelisah. Tanda-tanda Tun M nak undur sebelum akhir penggal tidak kelihatan. Nak usul undi tidak percaya bimbang tak cukup sokongan, bertukar pula menjadi permusuhan. Nak tunggu PRU15 bimbang pula bertukar kerajaan, yang menjadi PM bukan lagi PH.

Sebenarnya yang mengheret Anwar ke penjuru kegelisahan itu ialah kegelojohan dirinya sendiri. Mungkin merasakan "sepatutnya beliau sudah lama menjadi PM," menyebabkan Anwar semakin gelojoh memburunya. Ini dapat disaksikan bagaimana serangan beliau terhadap TGHH dan PAS. Individu dan parti yang pernah memberikan bantuan yang tidak sedikit kepada beliau untuk bangun dari lembah kejatuhan hasil perbuatan Tun M. Namun Anwar lupa itu semua.

Satu ketika dahulu (1982) ramai yang mengharapkan Anwar menyertai PAS selepas menyerahkan kepimpinan ABIM kepada Siddiq Fadhil. Namun Anwar yang sebelum itu banyak berceramah atas pentas PAS mengambil keputusan menyertai Umno. Kerana dirasakan lorong itu akan membawanya ke jawatan PM. Namun akhirnya Anwar dilucutkan jawatan sebagai Timbalan PM dan Timbalan Presiden Umno. Selangkah lagi Anwar akan sampai ke kerusi PM namun beliau ditendang keluar oleh Tun dari Umno.

Dengan sokongan PAS, Anwar kembali bangkit. PAS memberikan berbagai kemudahan termasuk jentera pilihan rayanya kepada parti baru Anwar (PKR). Tidak dinafikan Anwar memainkan peranan penting dalam pembentukan gabungan Pakatan Rakyat (PR) yang menyaksikan PAS, PKR dan DAP duduk semeja bagi menghadapi Umno-BN. Namun ramai pemerhati politik berkata semua itu Anwar lakukan adalah untuk melonjak dan menobatkan dirinya sebagai PM jika PR berjaya menjadi kerajaan.

Banyak perkara yg Anwar lakukan untuk dirinya sendiri bukan untuk idealisme sebuah perjuangan. Ini termasukkan krisis pemecatan bekas MB Selangor, TS Khalid Ibrahim dan pengosongan kerusi Kajang juga pengosongan kerusi Port Dickson. Tambah pemerhati politik Anwar sangup jadi apa sahaja demi meraih jawatan PM. Untuk itu semua Anwar sanggup 'yes sir' dengan DAP. Sanggup ampunkan Tun serta sanggup serang PAS dan TGHH.

Saya tidak fikir Tun M akan turun takhta semata-mata kerana mahu menunaikan janji lisan pimpinan PH sebelum PRU14 bagi mengangkat Anwar sebagai PM ke-8. Lagi kan janji bertulis dlm manifesto pun mereka boleh abaikan inikan pula janji lisan. Tun lebih mengenali Anwar berbanding pimpinan PAN dan DAP.

Sampaikah Anwar ke petak ke-100 dalam permainan Dam Ular ini? Sedangkan buah dadunya ditangan Tun. Lebih-lebih lagi papan dam ini lebih banyak ular dari tangga. Bahkan jika pun ada tangganya, dihujung kepala tangga atas telah ada ular di situ.

Tenangnya berpolitik dengan politik Islam.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Catatan Utara, Merbok, Kedah
5 April 2019 - HARAKAHDAILY 5/4/2019

dam