19
Thu, Sep
44 Artikel Baru

Kembali kepada matlamat asal Tabung Haji

Nasional
Typography

SETELAH menanti sekian lama pengumuman hibah Tabung Haji oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, akhirnya terjawab hari ini. Pengumuman hibah sebanyak 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018 adalah yang paling rendah dalam sejarah Tabung Haji sejak penubuhannya.

khalilBagi tahun kewangan 2017, hibah oleh Tabung Haji adalah sebanyak 6.25 peratus manakala bagi tahun kewangan 2016 adalah sebanyak 5.75 peratus. Alasan yang diberikan akibat daripada jumlah pengurangan hibah yang dibayar adalah salah guna kuasa dan kelemahan kerajaan terdahulu menguruskan Tabung Haji.

Semenjak PH menang PRU14 dan menjadi Kerajaan, setiap kelemahan yang terdapat di peringkat kementerian mahupun agensi kerajaan jawapannya adalah salah guna kuasa dan kelemahan kerajaan terdahulu. Saya harap cukuplah jawaban yang tersebut dan memang diakui terdapat kelemahan pada Tabung Haji namun usahlah kelemahan tersebut dijadikan alasan.

Saya rasa satu Malaysia hendak tahu jawapan sebenar mengapa hibah dibayar terlalu sedikit dan keadaan Tabung Haji yang sebenar. Saya rasa satu Malaysia hendak tahu bagaimana Kerajaan terutamanya Kementerian Kewangan mengendalikan SPV berkaitan aset-aset yang dipindah milik dari Tabung Haji.

Saya pasti satu Malaysia hendak tahu siapa sebenarnya mengetuai SPV tersebut dan bagaimana beliau mengendalikannya. Saya juga pasti satu Malaysia mahu orang Islam yang mengetuai dan mengendalikan SPV tersebut memandangkan Tabung Haji adalah di antara institusi Islam yang terbesar di dalam negara yang mempunyai tunai dan aset yang cukup besar di dalam mahupun luar negara.

Kerajaan perlu kembalikan Tabung Haji kepada fungsi asalnya iaitu sebagai tabungan kepada pendeposit untuk menunaikan ibadah haji berserta dengan kebajikannya. Jika benar Tabung Haji bermasalah, satu pelan pemulihan yang berkesan dan konstruktif perlu dilaksanakan. Kita tidak mahu rakyat terutamanya umat Islam hilang keyakinan kepada Tabung Haji.

Tabung Haji perlu dikembalikan kepada landasan serta matlamat asalnya penubuhannya dan kembali menjadi kebanggaan umat Islam.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
5 April 2019 – HARAKAHDAILY 5/4/2019