19
Thu, Sep
39 Artikel Baru

Kenapa Timbalan lebih laju dari Menteri?

Nasional
Typography
RAMAI rakan-rakan dari kalangan ahli akademik yang menyatakan rasa terkejut mereka bila membaca kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, bahawa kementeriannya akan membincangkan kedudukan empat ahli akademik yang membuat pembentangan mengenai isu Statut Rom kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja pada 1 dan 2 April lalu.
 
Dua persoalan yang timbul dari kenyataan Teo Nie Ching ini adalah:
 
(1)    Apakah menjadi kesalahan untuk empat ahli akademik ini memberikan pandangan profesional mereka dalam perkara yang menjadi bidang kepakaran mereka melalui hasil kajian mereka, termasuk dengan menghasilkan tesis PhD mengenai isu ini?
 
(2)    Apakah menjadi kesalahan untuk empat ahli akademik ini memberikan pandangan profesional mereka dalam perkara yang menjadi bidang kepakaran mereka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja bila dititahkan berbuat demikian?
 
Jika tidak menjadi kesalahan, untuk apa kedudukan mereka mahu dibincangkan?
 
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, dalam sidang media khas beliau pada 7 Jun 2018, pernah menegaskan mengenai kebebasan ahli-ahli akademik dengan berkata:
 
(1)    “Selaras dengan aspirasi kita untuk memberikan autonomi yang lebih kepada universiti, kita berharap bahawa universiti-universiti akan meletakkan 'academic freedom' sebagai keutamaan mereka di samping juga menekankan tentang pentingnya universiti untuk menjadi medan ilmu yang terbuka, medan intelektual terbuka, demi mendidik bukan sekadar para siswa dan juga siswazah tetapi juga untuk mendidik masyarakat dan yang lebih penting ialah di universiti sekalian kita mengharapkan para cendekiawan tidak dikekang dan tidak ditakuti dengan 'culture of fear dan siege mentality'.”
 
(2)    “So in this new era we will make sure that Kerajaan PH will never misuse universities for their political interests. I will make sure that me myself I will not abuse universities for my political interests, for my party’s political interests and for the ruling parties’ political interests. We will not control them, we will not dictate them, and we will not force them. And we really want all universities to enjoy their autonomy and to cultivate the academic freedom and the culture of freedom in their territory.”
 
Apakah Timbalan Menteri Pendidikan tidak sedar apa yang diperkatakan oleh Menteri Pendidikan?
 
Dan kenapakah Timbalan Menteri Pendidikan selalu kelihatan lebih laju dari Menteri Pendidikan? - HARAKAHDAILY 8/4/2019